Lawan Mongolia ni.. tolonglah menang!

Oleh Zainal Abidin Rawop 20 March 2018 19087
Lawan Mongolia ni.. tolonglah menang!
Ia bukan dianggap sebagai penawar kepada hasrat DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang juga presiden FAM yang berhasrat meletakkan jawatan tetapi juga sebagai 'antidot' kepada peminat-peminat bola sepak seluruh negara.
 
Hanya kemenangan yang mampu mengubati kedukaan yang sedang dirasai ketika ini akibat daripada deretan kekalahan sehingga menyebabkan ranking pasukan kebangsaan terperosok di tangga ke-178, yang terburuk dalam sejarah.
 
Banyak suara sinis yang dilontarkan apabila mendapat tahu pasukan negara akan berdepan Mongolia  di ranking ke-189, iaitu 11 anak tangga di bawah Malaysia untuk perlawanan antarabangsa pertama bagi tahun 2018. Ranking terbaik pernah dicatatkan Mongolia ialah 160 pada Ogos 2011 manakala terendah, 205 pada 2015.
 
Namun, kita kena akur dengan kesukaran FAM untuk mendapatkan lawan yang lebih 'ternama' sebagai aksi ujian sebelum menamatkan kempen kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Beirut pada Selasa depan. 
 
Siapakah Mongolia? Apa kekuatan mereka? Siapa bintang-bintang utama skuad ini?
 
Poning memikir dan mencari data serta fakta persatuan yang ditubuhkan pada 1959 ini tetapi tidak aktif sejak 1960 sehingga 1997 kerana kekurangan fasiliti dan pemain. Namun, atas bantuan FIFA, mereka kembali menyertai gabungan Persekutuan Bola Sepak Asia Timur, Konfederasi Bola Sepak Asia dan badan induk bola sepak dunia itu pada pada 1998.
 
Tercatat di sini Mongolia beraksi kali pertama di peringkat antarabangsa pada 1960 dengan menentang Vietnam Utara dan tewas 1-3. Rekod kemenangan antarabangsa pertama yang dicatat Mongolia ialah pada 24 Feb 2003 dengan mengalahkan Guam dalam Kejohanan Bola Sepak Asia Timur. Mongolia menyertai Sukan Asia 1998 tetapi dibelasah Uzbekistan 0-15 manakala di'pulun' Maldives 0-12 dalam kelayakan Piala Dunia 2006.
 
Cukuplah untuk mengatakan juga, Mongolia sebaris dengan Laos, Brunei, Sri Lanka, Pakistan dan Macau yang di tempatkan dalam satu kejohanan Piala Solidariti, iaitu untuk pasukan-pasukan ranking paling rendah dalam AFC yang berlangsung di Kuching pada 2016.
 
Walaupun turut menyertai pusingan kelayakan Piala Asia, Piala Dunia dan Cabaran AFC, Mongolia sentiasa menjadi 'lauk' kepada pasukan-pasukan lain.
 
Saya cukup tertarik dan bersetuju dengan saranan pemain tengah, Natxso Insa, yang mahukan pasukan negara fokus kepada corak permainan sendiri dalam memburu keputusan positif. Pemain kelahiran Sepanyol itu bakal mendapat 'cap' pertama di peringkat antarabangsa dengan menyarung jersi Malaysia, namun tidak dapat bergandingan dengan abangnya, Kiko Insa, yang mengalami sakit mata. Insya-Allah kita harapkan Kiko yang kini beraksi di Bangkok akan segera sembuh untuk membentuk gandingan mantap di bahagian tengah menjelang perlawanan di Beirut kelak.
 
Perlawanan dengan Mongolia juga adalah tugasan pertama untuk pengendali baru Skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, selepas dua kali bergelar pembantu jurulatih kepada Datuk K. Rajagopal dan Nelo Vingada tahun lalu. Saya yakin 'Ah Hoe' sudah cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab ini walaupun sedar dia berdepan kesukaran untuk menjinakkan pendahulu Kumpulan B, Lubnan, di Beirut.
 
Persoalannya, apakah Cheng Hoe akan mempertaruhkan pemain-pemain yang berpengalaman menentang Mongolia atau mahu mengabungkan pemain-pemain skuad bawah 23 tahun dengan 'seniors' dalam skuad kebangsaan? Apapun saya lebih cenderung memikirkan siapa bakal menjadi penggempur utama dan pemain mana yang mampu menghasilkan jaringan untuk Malaysia dalam perlawanan ini kelak.
 
Inilah 'department' yang paling kritikal tatkala liga tempatan sedang dikuasai penyerang-penyerang import sehingga pasukan kebangsaan ketandusan penyerang. Cukuplah dengan kekecewaan sepanjang lapan perlawanan pada 2017 dengan hanya ada satu kemenangan yang dicatat selain episod-epsiod kekalahan dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2019.

Andai tiada kemenangan yang dicatat dalam perlawanan dengan Mongolia ini, ke mana sebenarnya hala tuju bola sepak negara?
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen