Lacazette pecah tradisi Arsenal

Oleh Hafiz Wahid 6 July 2017 212
 Lacazette pecah tradisi Arsenal
Alexandre Lacazette secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain baru Arsenal semalam, sekaligus menamatkan spekulasi mengenai status pemain itu yang turut menjadi rebutan kelab lain.

Ia juga menyaksikan rekod baru melibatkan nilai perpindahan kelab, sekaligus memecah tradisi kelab Utara London ini.

Nilai perpindahan GBP46.5 juta (RM259 juta), termasuk bonus, merupakan rekod baru yang sebelum ini dipegang oleh Mesut Ozil yang berpindah dari Real Madrid dengan nilai GBP42.5 juta (RM236 juta).

Menurut laporan media Britian, Lacazette kini turut memegang rekod sebagai pemain dengan gaji paling tinggi di kelab itu dengan anggaran GBP200,000 (RM1.114 juta)  seminggu.

Namun, rekod itu mungkin dipintas andai Ozil mahupun Alexis Sanchez mengambil keputusan untuk menyambung  kontrak bersama kelab itu.

Apa yang menyebabkan Wenger dan pengarah kelab sanggup memecah tradisi, dengan rekod perpindahan dan mengetepikan struktur gaji maksimum yang ditetapkan sebelum ini?
Jawapannya terletak pada individu yang bernama Gilles Grimandi.

Grimandi merupakan bekas pemain Arsenal yang kini pencari bakat kelab di Perancis. Beliau sebenarnya sudah mengenal pasti bakat Lacazette sejak 10 tahun lalu ketika pemain itu berusia 16 tahun yang cemerlang bersama Olympique Lyon.

Grimandi begitu rapat dengan Wenger, diambil kira reputasi cemerlang Wenger dalam membangunkan bakat-bakat muda dari Perancis.

Grimandi beberapa kali cuba meyakinkan Wenger untuk menandatangani Lacazette, namun pengurus itu berasakan masanya masih belum sesuai.

Namun, pada pertengahan bulan lalu, Wenger mengambil keputusan untuk keluar makan malam bersama Lacazette di Paris selepas aksi antarabangsanya bersama skuad kebangsaan.

Wenger dalam misi meyakinkan Lacazette untuk menyertai Arsenal, membentangkan pelan, menerangkan yang pemain itu cukup sesuai dengan gaya permainan The Gunners serta dia akan gembira dengan suasana kota London.

Ia dianggap mempengaruhi keputusan Lacazette, dengan mengambil kira  faktor Arsenal tidak akan bertanding dalam saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Atletico Madrid merupakan kelab yang turut berminat dengan Lacazette, namun sekatan perpindahan yang dikenakan ke atas kelab LaLiga itu, nyata memberi rahmat buat Arsenal dan Wenger.

Sejumlah 37 gol dalam semua pertandingan musim lepas, dengan jumlah 113 gol dalam empat musim lepas, membuktikan dia kini dalam prestasi paling terbaik dalam karier seseorang penyerang.

Lacazette dianggap penyerang lengkap. Selain mempunyai kelajuan, pemain berusia 26 tahun ini juga bagus dalam perebutan bola di udara dengan rekod cemerlang, tidak kira gol melalui rembatan mahupun tandukan.

Ramai yang mempertikaikan mengapa Arsenal sanggup membayar wang yang cukup banyak kepada pemain yang hanya menjadi pilihan kedua dalam skuad kebangsaan Perancis selepas Oliver Giroud.

Bagi penulis, ia lebih kepada soal taktikal, dan bukan kepada siapa yang lebih bagus.

Didier Deschamps mungkin beranggapan Giroud lebih sesuai bergandingan dengan Antoine Griezmann dalam formasi 4-4-2 Perancis berbanding Lacazette.

Namun, segala-galanya boleh berubah andai Lacazette mampu membuktikan sesuatu dalam Liga Perdana Inggeris, malah tidak mustahil bergandingan bersama Giroud untuk kelab dan negara.

Satu lagi persoalan menarik ialah apa nombor yang akan dipakai Lacazette di Arsenal. 

Di Lyon, penyerang itu memakai jersi bernombor 10, yang kini dimiliki Jack Wilshere. Ketika ini hanya nombor 27 dan 30 yang masih kosong, dengan pemain baru Arsenal, Sead Kolasinac, memilih nombor 31.

Jika dikira, termasuk pemain yang pulang daripada pinjaman bersama kelab lain, Arsenal kini mempunyai 30 pemain yang aktif, dengan hanya 25 yang akan dibenarkan berdaftar.

Ini bermaksud akan ada beberapa pemain yang akan keluar daripada kelab itu. Berapa ramai? Kita tunggu....

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen