Koo & Tan Masih Berbisa?

Oleh Edleen Ismail 5 October 2015 134
Koo & Tan Masih Berbisa?
Chong Wei masih disegani ramai walaupun digantung 8 bulan namun tetap terpahat di hati rakyat Malaysia.

Hafiz Hashim pula telah menggantung raket dan kini mungkin akan mengemudi pasukan badminton Scotland. 

Manakala siapa yang tidak kenal Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong, ada yang suka dan ada yang tidak tetapi apa yang pasti, ramai yang pernah menjulang pasangan ini ketika mereka bergelar pasangan nombor satu dunia.

Koo dan Tan mula mencipta nama selaku beregu yang digeruni ramai apabila mereka merangkul emas di Sukan Asia di Doha pada 2006 dan 4 tahun selepas itu mereka hampir mempertahankan pingat emas tetapi terpaksa akur pulang dengan pingat perak.

Tetapi prestasi mereka yang sering terumbang ambing menyaksikan gandingan ini berpisah pada 2013 dan era mereka sebagai pasangan unggul Malaysia sampai ke penghujung episod. Walaupun mereka tidak lagi bersama pada ketika itu tetapi ramai yang masih terkenang perlawanan-perlawanan epik ditampilkan kedua-dua pemain ini.

2015 lain pula ceritanya. Impian untuk layak ke Sukan Olimpik Rio menyaksikan kedua-dua pemain ini berganding tenaga sekali lagi dengan harapan mampu layak ke Brazil tahun hadapan. Mungkin mereka kini di bawah radar kerana telahpun meninggalkan BAM dan beraksi sebagai pemain professional tetapi dalam diam, Koo dan Tan semakin berbisa di pentas antarabangsa.

Contohnya tahun ini sahaja mereka layak ke suku akhir dua kali di kejohanan Siri Super Terbuka Australia dan juga Korea dan terbaru muncul naib juara Terbuka Thailand. Apa yang pasti pasangan ini tetap mempunyai kaliber dan karisma yang sukar dicontohi pemain badminton kebangsaan ketika ini.

Saya sentiasa minat melihat permainan dan keserasian Koo dan Tan dan jika boleh saya ingin lihat kejayaan diperolehi mereka dan kembali menggegar dunia badminton.

Impian saya.. ialah untuk melihat nama Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong bermain di bibir peminat-peminat tegar badminton dan sekaligus menyaksikan mereka memeriahkan Sukan Olimpik Rio, tahun depan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen