Kelemahan Barcelona terhidang buat Liverpool

Oleh Ammar Hakim 1 May 2019 29649
Kelemahan Barcelona terhidang buat Liverpool
Barcelona berada dalam prestasi yang terbaik serta di landasan meraih gelaran 'treble'. Tetapi skuad kendalian Ernesto Valverde itu bakal berdepan Liverpool yang dibimbing Jurgen Klopp dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

Di atas kertas, Barcelona dilihat sebagai pasukan yang lebih mantap. Tetapi mereka memiliki satu kelemahan -- gagal bermula baik dalam setiap perlawanan apabila barisan pertahanan lambat menyesuaikan diri di atas padang.

Jika Liverpool boleh menggunakan kelebihan itudengan sebaik mungkin, perlawanan di Nou Camp semestinya menjadi milik mereka.

Liverpool mengharungi musim yang cemerlang di bawah kendalian Klopp, dengan jentera serangan yang dibarisi Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane tidak pernah lekang dengan jaringan gol.

Barisan pertahanan pula, yang diketuai oleh Pemain Terbaik PFA, Virgil van Dijk, merupakan tembok yang sukar ditembusi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Mereka juga sedang mengejar pendahulu liga, Manchester City, dengan hanya dibezakan satu mata.

Namun, Barcelona berada di landasan untuk menggondol setiap gelaran yang ditawarkan musim ini.

Skuad Blaugrana itu melangkah ke separuh akhir menerusi kemenangan 4-0 ke atas Manchester United, menjuarai LaLiga dengan kelebihan sembilan mata ke atas pencabar terdekat, Atletico Madrid, dan bakal membuat perhitungan dengan Valencia dalam aksi final Piala Raja Sepanyol.

Secara ringkasnya, mereka sedang dalam proses mencipta sejarah dengan menjuarai 'treble treble'. Mereka merupakan satu-satunya kelab yang melakukan dua 'treble' dan jika melakar kejayaan yang sama buat kali ketiga, ia akan meletakkan mereka sebagai salah sebuah kelab terbaik dunia.

Pertahanan Barcelona agak goyah pada awal permainan aksi suku akhir dan peluang gagal digunakan dengan sebaik mungkin oleh Manchester United.

Dalam satu kekalahan Barcelona musim ini menerusi aksi suku akhir pertama Piala Raja Sepanyol, Sevilla menurunkan pemain sayap yang pantas sementara memberikan tekanan hingga menggugat corak permainan mereka.

Pertahanan sayap Barcelona kerap kehilangan bola ketika melakukan serangan dan ia dilihat sebagai langkah terbaik buat Liverpool untuk melancarkan serangan balas.

Jaringan pembukaan menerusi Pablo Sarabia adalah hasil serangan balas apabila Sergi Roberto hilang kawalan bola. Jaringan kedua oleh Wissam Ben Yedder turut hadir menerusi kesilapan Roberto.

Jika Liverpool mengambil peluang menerusi pertahanan sayap Barcelona, Alba dan Roberto, yang cenderung untuk melakukan kesilapan ketika menyerang, kepantasan yang dimiliki Mane dan Salah mampu menjadi aset untuk mereka meraih jaringan yang penting di tempat lawan. 

Adakah Klopp akan memberi tumpuan terhadap aspek ini ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam separuh akhir?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen