"Kelebihan Si Tinggi lampai 186cm"

Oleh Nur Amira Ibrahim 17 August 2017 1533
Soalan pertama yang muncul sewaktu saya bertemu pemain ini adalah, "tinggi Shikin berapa?" Jawabnya, "186cm".

Terkedu semua para media kerana ketinggian si gadis ini sememangnya mencuri tumpuan sewaktu di gelanggang bola jaring.

Norashikin Kamalzaman merupakan antara penjaring utama yang membantu pasukan bola jaring negara memenangi perlawanan terutamanya apabila dia diberi peluang beraksi sepenuh masa sewaktu aksi berdepan Brunei, Selasa lalu. 

Semestinya ketinggian menjadi bonus kepada setiap pemain bola jaring dan kelebihan itulah yang dimiliki Norashikin untuknya menguasai perlawanan di bahagian serangan dalam menjaringkan gol. 

Sedikit latar belakang mengenai pemain berusia 23 tahun ini. Berasal dari Temerloh, Pahang, Norashikin sudah mula melibatkan diri dalam sukan bola jaring sejak tahun 2005 di peringkat sekolah sebelum ditawarkan untuk menjadi pelajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada tahun 2007 hingga 2011. 

Daripada awal lagi, memang pemain ini telah berhasrat untuk menjadi penjaring terbaik dalam skuad negara sejak dipilih mewakili negara pada tahun 2008.

Posisi sebagai penjaring ini bukan mudah jika seseorang itu bertubuh kecil kerana senang dihalang pihak lawan. Tetapi sedar dengan kelebihan yang ada pada dirinya, Norashikin gunakan peluang itu sebaiknya dalam beri cabaran sengit kepada pihak lawan. 

Jika  perlawanan terdahulu khususnya sewaktu Sukan SEA 2015, Norashikin memang sentiasa jadi tumpuan dengan fizikalnya yang tinggi lampai. Setiap pemain lawan sering bergelut untuk atasi ketinggian yang dimilikinya. 

Sehingga tiga perlawanan setakat ini, penjaring berbisa ini telah menjaringkan 80 gol secara keseluruhan dan berazam untuk menggandakan lagi jaringan sehingga ke aksi final.

Tetapi harus diingat, kita bukan sahaja mempunyai seorang sahaja penyerang dan penjaring seperti Norashikin, tetapi An Najwa Azizan dan Izyan Syazana Mohd Wazir turut tidak ketinggalan menjadi kekuatan kepada pasukan. 

Tinggal selangkah sahaja lagi untuk Malaysia ke final dan adakah kita bakal mengulangi skrip sama sewaktu final Sukan SEA 2015 atau sebaliknya? 

Sama-sama kita nantikan aksi oleh skuad kendalian Tracey Robinson ini sehingga berakhir!
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen