Kedah atau JDT?

Oleh Ammar Hakim 31 October 2019 1478
Kedah atau JDT?
Saingan bola sepak Malaysia kini sudah sampai kemuncak, final Piala Malaysia 2019 bakal berlangsung Sabtu ini dan ia merupakan pentas menebus kekecewaan dua tahun lalu bagi Kedah sementara peluang JDT untuk terus melebarkan penguasaannya selaku pasukan terbaik tanah air.

Di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini, Kedah akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), lawan sama yang mengecewakan mereka dalam aksi final Piala Malaysia 2017 dengan kekalahan 0-2.

Selepas saingan separuh akhir yang mencetuskan keghairahan dan membuatkan semua orang ternanti-nantikan perlawanan akhir, Kedah dan JDT kembali bertemu dalam final bagi menentukan siapa bakal bergelar juara.

Mengambil petikan daripada Bernama, ketua jurulatih skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak, ini merupakan peluang terbaik untuk barisan pemain Kedah menjulang piala berprestij tanah air itu selepas memenangi Piala FA, Julai lalu.

“Insya-Allah, saya percaya kepada semua pemain, harapan saya agar keputusan dalam final nanti memberi keputusan terbaik untuk pasukan,” katanya.

"Semua orang tahu JDT pasukan yang kuat, kami datang ke Bukit Jalil bukan sebagai pasukan pilihan tetapi perlu beraksi seperti berlawan dengan Pahang (di peringkat separuh akhir). Semasa perlawanan di Pahang, kami tidak fikir apa dan kami menikmati perlawanan tersebut hingga layak ke peringkat akhir ini".

24 bulan yang lalu, JDT mengatasi Kedah untuk menjuarai Piala Malaysia -- kejayaan pertama sejak mereka membentuk semula pasukan pada 2013, kejuaraan Piala Malaysia yang pertama sejak 32 tahun.

Bagi Kedah pula, mereka telah diberi tamparan hebat apabila terpaksa meneruskan saingan tanpa khidmat pengendali, Tan Cheng Hoe, yang berkhidmat bersama skuad kebangsaan, dan digantikan oleh Nidzam Adzha Yusoff yang berjaya membawa pasukan ke final.

JDT, yang dibimbing Ulisses Morais pada ketika itu, telah diangkat sebagai juara Liga Super buat kali keempat berturut-turut, memiliki jentera serangan ampuh yang diketuai oleh Gonzalo Cabrera, Gabriel Guerra dan Mohammad Ghaddar -- antara tiga pemain yang memacu skuad Harimau Selatan muncul juara pada tahun itu.

Dua tahun berlalu dan kedua-dua pasukan kini dengan nafas baru. Kedah kini dikendalikan Aidil Sharin sementara Benjamin Mora dinaikkan pangkat daripada JDT II untuk membimbing skuad utama dari Selatan itu.

Antara yang mencuri tumpuan kali ini adalah adik-beradik kembar, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Zaquan Adha Abdul Radzak, bakal mewarnai saingan kali ini.

Zaquan, yang bersama Kedah ketika ini, antara watak penting menggerakkan jentera serangan Lang Merah ketika abang kembarnya, Aidil Zafuan, pilihan utama yang bakal membarisi pertahanan JDT dalam aksi final Sabtu ini.

Mengambil kata-kata Zaquan menerusi laporan Nadi Arena, "Kami selalunya akan menghubungi ibu menjelang perlawanan dan apabila mengetahui bakal berdepan JDT dalam final, ibu tidak tahu ingin mendoakan kejayaan bagi saya atau Aidil. Jadi, siapa yang menang dalam final, itu rezeki masing-masing. Semoga berjaya buat JDT dan Aidil," kata Zaquan.

Ketika Kedah meletakkan sasaran untuk meraih gelaran Piala Malaysia yang keenam, ketiadaan khidmat tonggak pertahanan, Rizal Ghazali dan Renan Alves, ekoran digantung perlawanan, semestinya ditagih untuk menyerap tekanan asakan jentera serangan JDT dalam aksi final kali ini dan Aidil kini meletakkan tanggungjawab di bahu Shakir Hamzah.

Tatkala JDT tanpa kelibat Marcos Antonio, JDT tetap mempamerkan permainan bertahan yang ampuh sepanjang musim ini. Untuk rekod, mereka sekadar dibolosi 10 gol dalam saingan Piala Malaysia serta Safawi Rasid pula cemerlang bertindak selaku penjaring terbanyak saingan (10 gol).

"50-50. Ini aksi bola sepak final. Apa-apapun boleh berlaku. Saya mengucapkan yang terbaik untuk kedua-dua pasukan," titah pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menerusi Bernama.

Perlawanan final bukanlah seperti aksi-aksi yang sama seperti sebelumnya, beraksi di gelanggang neutral dan stadium bakal dibanjiri penyokong yang bertindak sebagai pemain ke-12 bagi setiap pasukan, sukar untuk menentukan pasukan mana yang bakal bergelar juara.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen