Kategori 1000cc bakal hiasi saingan ARRC musim 2019

Oleh Adam Zamri 31 May 2018 723
Kategori 1000cc bakal hiasi saingan ARRC musim 2019
Satu desas-desus yang kini bakal menjadi kenyataan apabila pengarah Two Wheel Motor Racing Sdn Bhd, Ron Hogg, mengesahkan perkhabaran itu dengan kategori baru itu bakal dinamakan Asian SuperBike (ASB) 1000 menjelang perlumbaan di Litar Suzuka, hujung minggu ini.

Ia merupakan perancangan yang telah pun diutarakan sejak 2010, namun Hogg jelaskan ketika itu kebanyakkan pasukan masih belum bersedia dan ia sekali lagi diutarakan pada 2014 dan selepas berbincang penuh terperinci dengan kesemua pemegang taruh dalam kejohanan ini, ia bakal direalisasikan pada 2019.

Setakat ini, empat pengeluar utama, Yamaha, Kawasaki, Honda dan Suzuki sudah menyatakan persetujuan bersama untuk menyokong kategori ini dan pihak penganjur sedang cuba berunding untuk membawa pengeluar jentera dari Eropah seperti Ducati, Aprillia, BMW dan MV Augusta untuk turut sama sertainya, namun kesemuanya masih di tahap perbincangan.

Dalam masa yang sama, pihak penganjur juga sedang mempertimbangkan kedudukan kategori Supersport 600 cc yang menjadi tumpuan umum dalam saingan ini. Kebanyakkan pelumba sedia ada bakal berhijrah ke kategori baru, ASB 1000 dan untuk Supersport 600cc, pihak penganjur terpaksa menanti jumlah penyertaaan dan mungkin terpaksa membuat beberapa penyelarasan baru.

Pentas ARRC sudah pun wujud pada 1996 dan menjadi platform untuk pelumba terbaik Asia menguji kemampuan di dalam litar. Kebanyakkan mereka punyai pengalaman beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia seperti Tomoyoshi Koyama, Yuki Ito, Decha Kraisart mahupun dua pelumba kebanggaan negara, Azlan Shah Kamaruzaman dan Zaqhwan Zaidi.

Menariknya juga untuk saingan ARRC akan datang, perlumbaan akan diadakan pada 7 pusingan berbanding kalendar sedia ada, iaitu sebanyak 6 pusingan sahaja.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen