Jurulatih remaja mengerikan dipenjara 31 tahun 

Oleh Shaiful Shamsudin 20 February 2018 4529
Jurulatih remaja mengerikan dipenjara 31 tahun 
Penjenayah seksual kanak-kanak, Barry Bennell, bakal meringkuk dalam penjara selama 31 tahun. 

Kisah bekas jurulatih dan peninjau bakat berusia 64 tahun itu menjadi igauan ngeri kepada ibu-bapa tentang bagaimana seorang penjenayah pedofil berselindung di sebalik kerjaya seorang jurulatih berdekad-dekad lamanya, khususnya kepada skuad pembangunan.



Dia pernah memegang peranan jurulatih di Crewe Alexandra dan peninjau bakat di Manchester City serta dikaitkan dengan beberapa pasukan remaja seperti Derbyshire, Staffordshire, Cheshire and Greater Manchester.

Malah, bekas kelabnya seperti City turut mengeluarkan satu kenyataan bersimpati terhadap mangsa-mangsanya serta melakukan siasatan dalaman pada 2016 untuk mengenal pasti dua pelaku, salah seorangnya adalah Bennell. 

John Broome disebut sebagai individu kedua, namun siasatan masih dijalankan untuk menentukan sejauh mana penglibatannya.

Sisi gelap Bennell terbongkar pada 1994 selepas seorang daripada anak didiknya mengadu kepada ibu-bapanya susulan gangguan seksual yang dihadapinya ketika menyertai kem bola sepak di Florida, Amerika Syarikat, yang menyebabkannya dipenjara selama empat tahun. 

Penangkapan itu kemudian mendorong pihak berkuasa United Kingdom untuk melanjutkan siasatan ke atas jenayah Bennell yang membawa kepada 43 pertuduhan jenayah seksual terhadap 11 budak lelaki berusia di antara 15 tahun dari 1979 hingga 1991 oleh Mahkamah Liverpool Crown.

Pembongkaran kisah Bennell ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi terhadap sukan yang menitikberatkan pembangunan akar umbi.

Menurut bekas kakitangannya, Bennell mempunyai aura yang mampu memukau ramai menerusi kepetahannya tentang bola sepak sementara bekas pemainnya, Ian Ackley, sempat mendedahkan kelakuan Bennell, 20 tahun lalu, dan hanya menguatkan lagi hujah pada 2016 dengan mendedahkan: "Bennell merogol saya lebih daripada 100 kali dari tahun 1979 hingga 1983."

Pengendali The Citizens, Pep Guardiola, turut merakamkan simpati terhadap mangsa: "'Saya seorang bapa, ia boleh berlaku kepada anak lelaki dan perempuan saya. Ia situasi yang menakutkan dan kini ia sudah terbongkar. Saya harap ia tidak berulang lagi. 

"Pihak berkuasa dan hakim perlu menentukan langkah terbaik untuk memberikan pengajaran yang baik agar perkara ini tidak berulang."

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen