Jingeri Gold Coast, Jingeri

Oleh 8 April 2018 291
Jingeri Gold Coast, Jingeri
SEBUTAN ‘Jingeri’ membawa maksud ‘Selamat Datang’ di kalangan kaum Yugambeh - antara suku kaum orang asli yang masih mempunyai populasi agak besar di Australia, terutama di sekitar bandar pesisir pantai Gold Coast.
 
Setelah hampir seminggu di negara yang masih mengekalkan ketamadunan serta budaya kehidupan tertua di dunia itu, saya sudah mula dapat rasakan keramahan penduduk Gold Coast menyambut tetamu-tetamu Sukan Komanwel kali ini.
 
Seminggu pada Ahad lalu, saya dan rakan-rakan warga petugas Astro Arena menjejakkan kaki di Gold Coast selepas penerbangan lapan jam daripada Kuala Lumpur.
 
Persepsi pertama saya memang menggalakkan, kerana kami disambut dengan senyuman dan keramahan sukarelawan di lapangan terbang. Pujian juga untuk penyelaras kami sejak daripada pejabat di Petaling Jaya hinggalah ke sini, Puan Sairatul Azimah, yang mengatur semuanya untuk kami di sini.
 
Urusan pengangkutan ke hotel penginapan sudah tersedia, ketika kami juga tidak perlu menunggu lama untuk memasuki bilik penginapan. Lebih menarik, tempat penginapan kami hanya 500 meter daripada pantai Broadbeach di Gold Coast!
 
Semangat membuak-buak membuatkan langsung tidak rasa letih atau lenguh berjalan kaki ke Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) untuk melengkapkan proses kad akreditasi media kami.
 


Dan kesungguhan itulah kini menunjangi kami demi memastikan matlamat untuk menyiarkan segala acara membabitkan atlet negara – menerusi siaran langsung sehingga 16 jam sehari di saluran Astro Arena – mampu dicapai.
 
Saya sebenarnya belum berkesempatan untuk menikmati apa yang ditawarkan oleh Gold Coast – bandar yang diberi jolokan sebagai destinasi pelancongan pantai terbaik di Australia.
 
Bagi menyemarakkan lagi Sukan Komanwel kali ini, Gold Coast turut menganjurkan ‘Festival 2018’ yang memaparkan persembahan kebudayaan, pameran-pameran dan konsert hiburan di sekitar Kurrawa Beach dan Surfer’s Paradise.
 
Namun di sebalik senyuman mesra, faktor keselamatan tidak pernah diabaikan. Gerbang pemeriksaan tetap wajib dilalui dengan segala macam barangan di bawa tidak pernah lupa diperiksa.
 
Terkenang Mitec pentas penyiaran antarabangsa Sukan Sea 2017 lalu…hati terdetik berkata Malaysia pun boleh kot.
 
*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara di Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita Nadi Arena 800/803HD

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen