Ingatan tulus ikhlas Kak Bi buat KAFA

Oleh Farizal Yusoff 8 July 2019 11116
Ingatan tulus ikhlas Kak Bi buat KAFA
Mungkin beliau akan diingati sebagai presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang mengangkat 'bendera putih' tanda menyerah kalah. 

Tunduk kepada desakan persatuan bola sepak jajahan (PBJ) yang memilihnya dua tahun dahulu.

 Juga tewas kepada anggota kabinetnya yang kurang memberi kerjasama. Atau, desakan menggila peminat yang mahu kejayaan segera tanpa peduli apa sahaja masalah yang ada.

Selepas semua itupun, Bibi Ramjani Ilias Khan atau mesra disapa Kak Bi masih macam dulu -- sudi menjawab panggilan dan berbalas pesanan WhatsApp dengan media. 

Mungkin kali ini lebih tenang. Lebih santai tanpa dihambat masa dan kontroversi.

Sejarah yang akan lebih adil mengadilinya. 

Penyokong berhak berkata apa sahaja, namun garis masa juga menobatnya sebagai wanita pertama terjun dalam dunia bola sepak Kelantan. 

Atau lebih tepat, mencipta sejarah secara rasmi dipilih sebagai presiden baru KAFA dengan mengalahkan naib presiden, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, dalam kongres pemilihan kali ke-63 persatuan itu yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu.

Beliau yang juga Pengurus Desa Murni Batik, Kota Bharu mendapat 32 undi -- jauh meninggalkan calon pilihan, Muhammad Nasir, yang mendapat 16 undi untuk ditabalkan sebagai presiden bagi sesi 2017 -2021.

Pantasnya masa berlalu. Nasib berpihak kepadanya apabila Kelantan berjaya kekal dalam Liga Super musim 2018 apabila menewaskan Melaka United 3-1 dalam perlawanan terakhir di Stadium Hang Jebat. 

Namun, langit tidak selalunya cerah. Mendung kelabu mengiringi perjuangan presiden wanita pertama ini untuk musim 2018 apabila Kelantan tersingkir ke Liga Perdana dan gagal ke separuh akhir Piala Malaysia angkara kelebihan jaringan Sabah di tempat lawan. 

Musim ini lebih derita apabila berada di dasar Liga Perdana agak lama dan lebih perit dipotong tiga mata oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Sekadar merekodkan tiga kemenangan dan masalah tuntutan gaji pemain terus bergema. 

Hukum alam dalam dunia bola memang kejam. Desakan PBJ yang mahu memecatnya dengan usul undi tidak percaya gagal ditepis. Lantas, Kak Bi ambil tanggungjawab dan letak jawatan yang menyebabkan EGM diadakan untuk pilih presiden baru.

"Kak Bi nak ucapkan tahniah kepada presiden dan kepimpinan baru KAFA yang menang dalam EGM, Sabtu lepas.

"Cuma, Kak Bi nak pesan sangat kepada kepimpinan yang ada supaya bantulah presiden sebaik mungkin. Jangan ambil kesempatan serta ada agenda tersembunyi," katanya.

Kepada PBJ, Bibi Ramjani juga ada pesanan untuk sama-sama fikir demi mengembalikan semua maruah bola sepak Kelantan.

"Pada PBJ, jangan letakkan kesalahan organisasi kepada individu selepas ini sebab anda yang memilih presiden dan seluruh pengurusan tertinggi KAFA," pintanya.

Akhirnya, ada juga rasa terkilan dalam dirinya. Kak Bi mohon maaf kepada seluruh penyokong setia The Red Warriors (TRW) kerana gagal berikan piala kepada mereka. Beliau sedar sudah lama mereka mengimpikan final di Stadium Bukit Jalil.

"Hanya Kak Bi terkilan sebab tidak dapat bagi kejayaan kepada penyokong  dan tak sempat beri apa-apa kepada negeri Kelantan dalam menaikkan imej bola sepak negeri," ujarnya.

Bicara ini terhenti dengan janji Kak Bi untuk terus memberi sokongan kepada KAFA biarpun dirinya sudah tersingkir. Buat masa kini, beliau mahu memberi tumpuan untuk kembangkan bisnes batik yang sudah sebati dalam jiwanya.

"Kak Bi sentiasa bersedia bantu KAFA walaupun bukan dalam bentuk kewangan sebab sudah anggap mereka (pemain) seperti anak sendiri dan yakin mereka mampu kembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri ini," katanya.

Terima kasih Kak Bi. Sepanjang mengemudi KAFA (September 2017 hingga 6 Julai 2019), beliau melayan kami (media) dengan begitu baik. Jumpa lagi dan moga bisnes batik terus berkembang maju.


 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen