Impian finalis idaman terkubur

Oleh Burn Thevandran 16 April 2018 10084
Impian finalis idaman terkubur
Peminat tegar Liga Juara Juara Eropah pasti sudah mengetahui bahawa empat pasukan terbaik bagi musim 2018 telah berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir iaitu Real Madrid, Bayern Munich, Liverpool dan AS Roma.

Ironinya, empat pasukan kelab itu secara tidak langsung mewakili empat liga utama di Eropah dengan masng-masing bermain di liga negara yang berbeza.

Bagi Liverpool, ini merupakan pencapaian terbaik mereka sejak “magis Istanbul” pada 2005. Pastinya Jurgen Kloop mahu menghadiahkan kejuaraan eropah keenam memandangkan Liverpool kini berada di puncak prestasi mereka.

Bagi AS Roma pula, kejayaan bangkit menyingkirkan Barcelona merupakan satu titik tolak buat mereka untuk tidak lagi menoleh ke belakang. Jarang untuk kita dapat peluang menyaksikan aksi AS Roma di peringkat tertinggi seperti ini. Bahkan, rekod pertemuan terakhir dengan Liverpool di peringkat tertinggi adalah pada final Piala Eropah pada tahun 1984 iaitu 34 tahun yang lalu!

Tidak keterlaluan penulis katakan, kelibat Real Madrid dan Bayern Munich bukanlah sesuatu yang asing bagi pentas separuh akhir dan final. Namun kehadiran The Reds dan AS Roma pastinya menghadirkan keterujaan baru terutama bagi peminat kelab itu sendiri.

Tambahan pula nama kedua-dua kelab berkenaan seperti amat rapat antara satu sama lain bagi musim ini atas faktor Mohamed Salah. Salah merupakan bekas pemain AS Roma bagi musim lalu dimana kehadirannya di Liverpool begitu memberikan kesan kepada prestasi mereka buat masa kini. Pemergiannya dari AS Roma juga sebenarnya menambah baik permainan AS Roma di atas padang.

Hasil kaji selidik yang penulis dapat menerusi perbincangan bersama rakan-rakan sekerja juga menyaksikan, ramai yang mahukan Liverpool dan AS Roma berentap di pentas final atas alasan ianya sesuatu yang segar dan baru jika dibandingkan dengan Real Madrid dan Bayern Munich yang sudah sinonim dengan situasi ini.

Namun harapan itu terkubur apabila undian yang dilakukan menghasilkan keputusan dimana Real Madrid bakal berdepan Bayern Munich dan Liverpool bertemu AS Roma.

Hanya akan ada satu pemenang pada pertemuan separuh akhir di antara Liverpool dan AS Roma nanti, dan penulis mengharapkan, salah satu dari kelab ini mampu muncul juara dengan menumbangkan Real Madrid atau Bayern Munich di final nanti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen