Hup Wei bukti lompatnya masih 'berbisa'

Oleh Mirnawan Nawawi 4 February 2018 1379
Hup Wei bukti lompatnya masih 'berbisa'
Kejayaan Lee Hup Wei memahat rekod peribadi baru dengan catatan 2.28 meter merupakan satu petanda yang cukup positif kepada skuad olahraga kebangsaan.

Ia secara tidak langsung mewujudkan persaingan sihat antara Hup Wei dengan pemegang rekod lompat tinggi kebangsaan dengan catatan 2.30 meter iaitu Nauraj Singh Randhawa.

Saya tertarik dengan kesungguhan Hup Wei walaupun dia berusia 31 tahun tetapi masih sanggup mengeluarkan duit poketnya sendiri untuk mengikuti latihan seperti Nauraj di Australia.

Ternyata, pengorbanannya untuk menuai hasil yang cukup lumayan buat Hup Wei kerana dia berjaya melepasi had ketinggian 2.28m buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.

Sebelum era Nauraj, nama Hup Wei disebut-sebut sebagai jaguh No. 1 lompat tinggi negara kerana dia berjaya memadam rekod lama kebangsaan, 2.24m, milik Loo Kum Zee dengan catatan baru 2.27m pada 2008.

Dua tahun kemudian Hup Wei sekali lagi berjaya menyamai catatan 2.27m, namun selepas itu dia dihimpit masalah kecederaan hingga menyaksikan kariernya merudum teruk.

Sepanjang tujuh tahun lalu, Hup Wei tidak pernah melompat mengatasi had ketinggian 2.25 meter dengan catatan terbaiknya cuma 2.24 meter iaitu sewaktu meraih pingat perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Berikut ialah catatan tahunan terbaik Hup Wei bermula 2.15m pada 2011, 2.21m (2012), 2.22m (2013), 2.18m (2014), 2.17m (2015), 2.22m (2016) dan 2.24m (2017).

Hup Wei, yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Beijing 2008 mula mempamerkan peningkatan sepanjang tahun lalu selepas 'berguru' dengan jurulatih Nauraj dari Australia, Alex Stewart, selama dua bulan di Sydney.

Pelaburannya 'terbang' ke Australia sekali lagi dengan duit poket sendiri untuk berlatih bersama-sama Nauraj dan Stewart baru-baru ini menyaksikan dia mencatatkan 2.28m, sekali gus meraih pingat emas Kejohanan ACT di Canberra baru-baru ini.

Had ketinggian itu menyamai catatan pemenang pingat perak Sukan Komanwel Scotland 2014 dari Cyprus, Kyriakos Ioannou, dan pada masa sama meletakkan namanya selaku penghuni ranking pertama untuk tahun 2018 setakat ini.

Saya percaya ia secara tidak langsung membuktikan bahawa Hup Wei sebenarnya mampu menggalas tugas negara bersama-sama Nauraj dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast pada April nanti.

Ini kerana saya difahamkan nama Hup Wei mungkin akan digugurkan daripada beraksi dalam Sukan Komanwel 2018 nanti.


 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen