Hierro perlu jadi Hero Sepanyol

Oleh Suzana Basri 14 June 2018 1448
Hierro perlu jadi Hero Sepanyol
Nampaknya ada hikmah Fernando Hierro kembali ke Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) November lalu, selepas 6 tahun meninggalkan jawatan sebagai pengarah sukan negara itu.

Siapa sangka pasukan gah seperti Sepanyol tidak mempunyai jurulatih - dua hari sebelum Piala Dunia 2018 membuka tirai di Rusia - semuanya kerana RFEF lebih rela memecat jurulatih mereka yang "diva". 

Sikap tegas RFEF ini perlu diberikan pujian kerana tiada istilah "anak emas" atau "pilih kasih" kerana tindakan Julen Lopetegui mengadakan perjanjian tanpa pengetahuan pasukan sememangnya tidak wajar.

Benar, ia satu tindakan berisiko kerana sepanjang 20 aksi dibawah bimbingan Lopetegui, Sepanyol berjaya cetak rekod bersih sehingga dicanang mampu mengembalikan trofi yang dijulang pada 2010.

Ia ternyata satu pengajaran yang baik buat semua - bukan sahaja penggiat bola sepak Sepanyol tetapi kesemua negara harus mencontohi betapa Sepanyol mementingkan ketelusan dan sensitiviti dalam menjaga kepentingan skuad kebangsaan mereka - antara faktor utama mengapa bola sepak Sepanyol mampu pergi lebih jauh walaupun dilanda kontroversi.

Patah tumbuh, hilang berganti - antara individu yang terbabit dalam kejayaan Sepanyol menjulang Piala Dunia sulung pada 2010,  Hierro kini dipertanggungjawabkan selaku pengendali bagi kempen di Rusia. Tugasnya berat, berbanding pengalaman yang dimiliki selaku jurulatih.

Legenda Real Madrid berusia 50 tahun ini pernah menjadi penolong kepada Carlo Ancelotti di Santiago Bernabeu dan membimbing kelab divisyen dua, Real Oviedo, selama semusim - ya, itu sahaja bekalan yang ada buat Hierro setakat ini.

Sedikit kelebihan ini menjadi potensi besar dalam keadaan genting seperti sekarang di mana Sepanyol jelas tiada masa untuk terus melayan kontroversi. Jika Sepanyol sebelum ini melantik semula Hierro untuk tugasan berat - melegakan ketegangan di antara pemain utama ekoran skandal rasuah - jelas kepercayaan RFEF cukup tinggi buat Hierro.

Mahu tidak mahu, Hierro perlu memastikan Sepanyol tundukkan Portugal pada aksi pembukaan Sabtu ini untuk meningkatkan moral pasukan dan membuktikan mereka tidak terkesan dengan kemelut terbaru ini. Penyelesaian mudah tetapi sukar.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen