Harris lelaki budiman sejati

Oleh Rizal Hashim 6 December 2017 176
Harris lelaki budiman sejati
Di saat bola sepak tempatan dibelenggu pelbagai isu dan kerenah birokrasi serta drama menjelang Liga M 2018, penulis mahu berkongsi pengalaman dengan seorang jurulatih yang pernah berasakan debar dan getar serta tekanan beraksi di Camp Nou.

Mengenali Allan Harris dari 1999 hingga 2004, penulis kadangkala merujuk kepadanya sebagai Bekas No 2 di Barcelona, Spurs dan Crystal Palace dalam laporan, berpandukan hakikat bahawa mendiang mengikut Terry Venables ke mana sahaja beliau pergi.

Mendiang Harris tidak begitu gemar dengan label sedemikian.

“Nampaknya saya terpaksa terima hakikat saya menjadi penolong kepada El Tel (gelaran yang diberi kepada Terry Venables),” katanya.

Di sebalik gelaran No 2 itu berserta pengalaman bekerja dengan nama-nama besar bola sepak Inggeris dan Eropah, Harris bukanlah seorang yang gemar mendabik dada.

Bermula di Crystal Palace, Harris membantu Venables memupuk bakat Terry Fenwick, Steve Wicks, Kenny Sansom dan Clive Allen antara lain.

Di Barcelona, nafas dan tidur Harris berkisar kepada suasana memastikan Migueli, Julio Alberto, Victor Munoz, Jose Alexanco, Bernd Schuster, Steve Archibald, Francisco Carrasco dan kemudian Gary Lineker serta Mark Hughes fokus kepada latihan dan permainan.

“Di Barcelona, saya bekerja dengan pemain terbaik dunia, termasuk Diego Maradona, yang dijual tidak lama selepas ketibaan kami disebabkan masalah kecederaan selain perselisihannya dengan presiden, Josep Lluis Nunez.

“Meninjau semula sejarah, waktu kami memperbetulkan keadaan yang kurang stabil di Camp Nou kerana sebelum itu Udo Lattek dan Cesar Luis Menotti bergelut membentuk dan mengimbangi pasukan bintang dengan mentaliti juara.

“Memenangi La Liga untuk kali pertama selepas 11 musim bukanlah sesuatu yang mudah. Jika Barca menang Piala Eropah pada 1986 (mereka tewas kepada Steaua Bucharest), dunia akan mengenang kami sebagai legenda,” katanya dalam satu pertemuan kami di pejabatnya.

Penulis bertuah merakamkan banyak perlawanan di bawah kendalian Harris – daripada pra-Kejohanan Asia Bawah 20 tahun pada 2000, Sukan SEA dan Pestabola Merdeka 2001, perlawanan persahabatan dengan Manchester United pada 2001, pertemuan dengan Brazil sebelum Piala Dunia 2002 manakala rakan setugas, Fariq Rahman, membuat liputan Piala AFF 2002 dan Sukan Asia 2002.

Penulis kembali membuat liputan pasukan kebangsaan dengan intim, termasuk mengikuti perkembangan rapat pra-Piala Asia 2003 (Kuala Lumpur dan Bahrain) dan Sukan SEA Hanoi 2003 (jaringan Syamsuri Mustafa dari kotak penaltinya melambung ke gawang menentang Vietnam dipilih CNN sebagai Play of the Day) serta misi terakhir Harris dalam pra-Olimpik apabila Malaysia diletakkan sekumpulan dengan China, Korea Selatan dan Iran pada 2004.

Penulis menyaksikan Malaysia tewas 1-0 kepada Palestin di Hong Kong sekalipun pasukan yang diketuai Bobby Pian menguasai permainan. Di bawah teraju Harris juga, Malaysia mengekang Iraq yang diterajui penyerang, Younis Mahmoud, tanpa jaringan. Malaysia juga mengikat Bahrain 2-2 hasil jaringan jarak jauh Shukor Adan dan jaringan penyamaan saat akhir Norhafiz Zamani Misbah.

Jaringan K. Rajan ketika menewaskan Thailand dalam Pestabola Merdeka 2001, kejayaan mengaibkan Singapura 4-0 dan Thailand 3-1 dalam Piala AFF 2002 adalah antara detik-detik manis sepanjang kerjaya Harris.

Namun, memang benar apabila Harris mengeluh tekanan melampau selaku pengisi kerusi panas jurulatih kebangsaan Malaysia.

“Soalan pihak media seolah-olah Malaysia pernah memenangi Piala Dunia. Ini sesuatu yang sukar saya fahami,” katanya.

Ditanya falsafah pengurusannya, Harris yang berguru di bawah Ted Drake, Tommy Docherty dan Venables antara beberapa nama, berkata formulanya menggabungkan perkara positif sepanjang pengalamannya bagi menyampaikan mesej kepada pemain.

“Ada jurulatih yang tegas, ada yang memberi pemain kelonggaran. Saya mahu dikenang sebagai jurulatih yang seimbang,” katanya.

Namun, apabila pemain mengulangi kesilapan yang sama, misalnya membocorkan gol dari sepakan sudut, sepakan percuma dan gol mudah, Harris menerima hakikat tidak banyak yang boleh diperbetulkan sambil menghitung hari-hari terakhirnya di Kuala Lumpur.

Apabila isteri penulis diuji dengan penyakit serius pada 2004, Harris kerap menelefon penulis untuk bertanya khabar. Kami juga banyak berbincang pasal anak-anak dan keluarga.

Sekalipun dikenang sebagai pemain Chelsea, Harris dalam minda penulis kekal abadi sebagai seorang lelaki budiman yang sejati.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen