Harimau Selatan masih ampuh, Jang makin ketinggalan

Oleh Fadzrie Hazis 8 May 2018 6344
Harimau Selatan masih ampuh, Jang makin ketinggalan
Selepas sembilan aksi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) kini masih menepati ramalan selaku pendahulu liga dengan 24 mata.

Pemangku ketua jurulatih JDT, Raul Longhi setakat ini melakukan tugas dengan baik walaupun dihambat kekecewaan tersingkir awal daripada saingan Piala AFC dan Piala FA sebelum ini.

Namun, penulis jangka mereka kini akan fokus dalam misi meraih kejuaraan kelima berturut-turut Liga Super sekaligus menjadi wakil pertama negara di Liga Juara-Juara AFC musim depan.

Pahang terlepas peluang merapatkan jurang dengan JDT apabila sekadar seri 2-2 dengan Kedah dalam aksi kesembilan liga.

Penulis percaya, Pahang akan kembali bangkit apabila berdepan Terengganu FC dalam aksi kesepuluh liga pada 11 Mei ini di Kuantan untuk kembali menghangatkan saingan.

Ketika ini, Perak menduduki tangga kedua dengan 19 mata selepas menewaskan Terengganu FC 3-2 pada aksi kesembilan minggu lalu.

Seperti Pahang, penulis turut melihat skuad Bos Gaurus kendalian Mehmet Durakovic kini semakin ampuh dengan gandingan  serangan Wander Luiz bersama Gilmar Jose Da Silva semakin berbisa musim ini.

Pasukan tangga keempat dan kelima liga, PKNS FC dan Terenggnau FC pula perlu kembali konsisten selepas ini jika mahu terus merapati tiga pasukan teratas liga.

Di tangga pertengahan liga, prestasi tidak menentu masih dipamerkan Kedah, Kuala Lumpur, Selangor dengan hanya PKNP FC tampil konsisten dalam dua aksi terkini apabila merakam empat mata.

Penulis tertarik dengan keupayaan Abu Bakar Fadzim mengendalikan barisan muda PKNP musim ini.

Walaupun kehilangan beberapa tonggak import dan tempatan musim lalu, PKNP tetap berjaya ke separuh akhir Piala FA dan kini ditangga ketujuh Liga Super.

Melaka kini semakin menghampiri kelompok dua pasukan terbawah liga selepas dua kekalahan berturut-turut dan perlu segera bangkit.

Skuad Kelantan yang kini menduduki tangga kedua tercorot liga, merakam kemenangan pertama di bawah kendalian Fajer Ibrahim dengan menewaskan Kuala Lumpur 4-2 minggu lalu.

Fajer yang kini membariskan ramai tonggak muda, masih perlu menggandakan usaha selepas ini untuk keluar daripada kelompok bawahan liga.

Waktu kini kian suntuk buat Negeri Sembilan di tangga tercorot liga dengan hanya lima mata.

Pada pengamatan penulis, satu cara Negeri mampu kembali bangkit ialah jika pengurusan pasukan dapat membawa masuk beberapa awang import dan tonggak tempatan berkualiti.

Justeru, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, PBNS perlu menggunakan jendela perpindahan kedua Liga M dari 7 Mei hingga 3 Jun depan dengan sebaik-baiknya bagi menyelamatkan pasukan daripada jatuh ke Liga Perdana musim depan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen