Harimau Malaysia: Di dalam dan di luar padang

Oleh Aidie Ramlan 11 October 2016 210
Harimau Malaysia: Di dalam dan di luar padang

Di Dalam Padang:

Setiap kali pemain beraksi buat skuad kebangsaan, sama ada dalam persahabatan antarabangsa, kelayakan ataupun apa sahaja perlawanan, gugup atau lambat mententeramkan diri adalah faktor utama yang merosakkan segala perancangan taktikal, sekali gus merebak kepada masalah komunikasi, hantaran tidak tepat dan kawalan bola menghampakan dan akhirnya tewas.

Garang hanya pada nama. Daripada Harimau Malaya hingga kepada Harimau Malaysia, daripada logo lama kepada logo baru, daripada lagu lama kepada lagu baru, dari stadium lama ke stadium baru dalam pembikinan, apa lagi yang tidak dilakukan bagi mengekalkan imej garang Harimau Malaysia di atas padang? 

Cakaran masih tumpul, gigitan tidak tajam dan ngauman tidak mencerminkan watak Sang Juara yang mampu menggerunkan pihak lawan.

Apa yang kita lihat kini adalah kesan jangka panjang hasil daripada apa yang dipelajari dahulu.

Rata-rata pemain kebangsaan berusia di antara 20-30an di mana mereka bermula bermain bola mungkin pada peringkat tahun 90-an ketika mereka berusia belasan tahun. 

Secara ringkas, sudah tentu peminat tidak berpuas hati dengan kualiti yang dimiliki pemain kini, sekali gus membuktikan cara kita salah dari peringkat akar umbi lagi. Fikirlah sendiri.

Di Luar Padang:

Peminat mudah mengkritik tetapi mentaliti mereka ala kampung. 

Mahukan pemain seperti Aguero, Suarez mahupun bintang muda seperti Rashford, tapi sedar atau tidak, kita selaku peminat juga tidak mahu menjadi seperti peminat yang diinginkan pemain. 

Bergaduh sesama penyokong, merosakkan kemudahan stadium, sampah merata-rata dan caci-maki dalam sosial media -- perkara-perkara ini remeh tapi sebenarnya boleh membunuh moral pemain di atas padang.

Laungan FAM B*****t sudah sinonim dan itulah realitinya. Lebih 30 tahun tanpa sebarang perkembangan yang bagus, lebih 30 tahun tanpa saingan liga yang betul-betul teratur dari segi penganjuran, lebih 30 tahun tiada pembangunan yang betul di peringkat akar umbi dan lebih 30 tahun, pelbagai tuduhan disasarkan kepada mereka yang berada di atas.

Rasuah. Dari dalam persatuan, pengurusan, jurulatih, legenda bolasepak negara, bekas pemain mahupun pemain masa kini, budaya ini tidak boleh lari. 
Tanyalah kepada siapa sahaja pemain profesional dalam Liga Malaysia, hampir semua daripada mereka pernah dihubungi oleh “bookie. Namun, sama ada mereka terlibat atau tidak, tepuk dada tanya selera.

Apa yang boleh dikatakan, masih terlalu jauh perjalanan bola sepak Malaysia. Terlalu jauh.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen