Harap yang terindah...2018

Oleh Dayne Azmin 31 December 2017 154
Harap yang terindah...2018
2017 bakal meninggalkan kita dan tahun 2018 yang menjelma diharap mampu memberikan memori lebih manis dalam catatan diari sukan negara.

Dua temasya besar, Sukan Komanwel dan Sukan Asia menjadi platform utama perlihatkan kecemerlangan atlit negara untuk tahun depan.

Pencapaian enam pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow empat tahun lalu tidak mustahil kita lakukan lebih cemerlang pada pada edisi akan datang di Gold Coast, Australia.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga telah tetapkan sasaran buat kontinjen negara berada dalam kalangan 10 terbaik di Gold Coast.

Badminton sudah tentu terus jadi teraju utama sandaran pingat namun diharapkan sukan lain seperti terjun, berbasikal dan boling padang mampu hasilkan kilauan emas.

Biarpun satu tamparan tanpa pemenang pingat emas empat tahun lalu, Mohd. Hafifi Mansor dalam sukan angkat berat atas isu positif doping, ia bukanlah penamat segala-galanya.

Bagi Sukan Asia, kekecewaan empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan sudah tentu masih lagi terasa apabila gagal mencapai sasaran lapan pingat emas apabila sekadar bawa pulang lima sahaja.

Tekanan pasti tinggi kepada kontinjen negara yang akan berjuang di Jakarta dan Palembang bagi pastikan kekecewaan sama tidak berulang kembali.

Sukar melihat di mana kilauan emas akan hadir di pentas Sukan Asia tetapi sukan seperti karate, bowling, badminton, terjun, memanah dan berbasikal jadi tunjang utama hasilkan sekurang-kurangnya pingat.

Rasanya mahu tidak mahu, kita tidak boleh lupakan bola sepak yang jadi sukan nombor satu negara mampu memahat 2018 sebagai tahun kebangkitan.

Piala AFF penghujung tahun 2018 detik terbaik buat jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe lakar kembali keyakinan pencinta bola sepak tanah air selepas 2017 berlalu dengan kemarau kemenangan.

Begitu juga Liga Malaysia, kita mahukan pemain tempatan kita terutama barisan penyerang tidak berterusan menjadi pemalu atau penumpang bersama pasukan yang mereka wakili.

Sebagai akhir bicara, penulis tidak mahu lagi mendengar isu doping seperti penggunaan sibutramine yang kini jadi pemusnah utama karier seseorang atlet selain steroid masih kedengaran pada 2018.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen