Great Britain dibelasah Belgium

Oleh Mirnawan Nawawi 23 May 2019 4305
Great Britain dibelasah Belgium
Great Britain sudah dijangka akan tewas kepada Belgium dalam saingan FIH Pro League tetapi kekalahan besar 0-4 di London baru-baru ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan peminat-peminat hoki dunia.

Saya meramal satu perlawanan yang sengit antara kedua-dua pasukan tetapi sebaliknya berlaku apabipa Great Britain membenarkan juara Piala Dunia 2018 itu berpesta meskipun beraksi di halaman sendiri.

Berdasarkan prestasi semasa, saya sudah dapat merasakan Great Britain tidak mampu menandingi kehebatan Belgium kerana tewas 2-3 kepada Argentina dalam aksi terdahulu.

Namun, kekalahan 0-4 kepada Belgium hasil dua gol John-John Dohmen dan satu jaringan daripada Florent van Aubel serta Thomas Briels sesuatu yang mengejutkan ketika Great Britain cuba bangkit memulihkan reputasi mereka gara-gara kekalahan yang lepas.

Walaupun keputusan tidak memihak kepada England tetapi saya melihat skuad bimbingan Danny Kerry itu masih berada pada landasan tepat untuk menjamin slot ke peringkat Grand Final sebagai empat pasukan teratas.

Ketika ini, Great Britain sedang menduduki tangga keempat selepas lapan perlawanan FIH Pro League dengan baki enam lagi aksi.

Saya merasakan perlawanan seterusnya buat Great Britain adalah peluang terbaik untuk membalas dendam kerana mereka dijadualkan bertemu semula Belgium di Antwerp pada 30 Mei ini sebelum menentang Belanda di Eindhoven tiga hari kemudian.

Great Britain perlu meraih keputusan positif dalam dua perlawanan di tempat lawan ini kerana empat aksi terakhir mereka akan berlangsung di 'rumah sendiri' iaitu Pusat Hoki Lee Valley di London.

Empat perlawanan selepas itu menentang Jerman pada 6 Jun, Australia (9 Jun), Belanda (14 Jun) dan New Zealand (23 Jun).

Jika Great Britain dapat memastikan tempat dalam kelompok empat teratas sehingga mara ke Grand Final, ia bermakna mereka secara tidak langsung berjaya meraih tiket untuk beraksi pada pusingan kelayakan akhir ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen