'First & Last', TMJ Johor Punya!

Oleh 27 March 2018 49770
'First & Last', TMJ Johor Punya!
Meremang bulu roma saya bila terdengar sorakan penyokong JDT, "TMJ JOHOR PUNYA!" selepas keluar dari bilik sidang media tempat Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengumumkan perletakan jawatan baginda selaku presiden FAM selepas genap setahun menduduki kerusi panas badan induk bola sepak negara itu.

Laungan sebagai simbolik kepulangan TMJ kembali ke tempat asal baginda itu mengingatkan saya pada waktu hari pertama baginda dilantik selaku presiden FAM. Yang menariknya, suratan atau kebetulan, pada waktu itu saya jugalah yang ditugaskan untuk merakam sejarahnya.

Walaupun keraiannya berbeza, tetapi kemeriahannya sama. Kalau dulu penyokong bola sepak tanah air datang sebagai tanda sokongan, tapi kali ini hanya penyokong JDT yang hadir kerana kesetiaan terhadap Tunku Ismail. Atau mungkin peminat Harimau Malaya rasa jauh nak datang. 

Daripada apa yang saya perhatikan, wajah Tunku Ismail masih lagi tenang ketika melepaskan jawatannya. Namun, ada kata-kata pedas keluar dari mulut baginda yang bagi saya ada benarnya seperti, "harimau boleh berkhidmat dengan harimau sahaja, harimau takkan boleh berkhidmat untuk biri-biri" dan "harimau kalau dibelai bulunya ke belakang ia akan jinak, tetapi kalau dibelai bulunya ke depan,dia akan tunjuk watak yang lain".  Jadi, siapa yang salah belai? Atau tak pandai belai?

Walaupun saya bukanlah orang yang layak untuk memperkatakan perihal bola sepak negara, namun saya juga ada pandangan. Sedikit sebanyak apa yang berlaku terjadi di depan mata saya. Kita boleh nampak mana yang lebih dan mana yang kurang. Memang masih belum banyak pencapaian yang dicapai oleh pasukan kebangsaan, tetapi pelbagai perubahan telah dilakukan. Kalau dulu sesi latihan skuad kebangsaan tiada ambulans, sekarang ini dah ada. Itu salah satu contoh. Malah jersi hilang pun presiden nak kena fikirkan.

Adakah anda semua lihat dan nampak itu semua? Tetapi itulah yang dilakukan TMJ yang mungkin ramai tak tahu dan masih lagi tak nak faham. Bercakap soal 'winning mentality', ia bukan bermaksud nak menang dalam semua perlawanan, tetapi cara pemikiran kita yang buatkan kita menang. Takkan boleh jadi hari ini berubah, esok terus menang! Ini bukan soal harga minyak, ini pasukan bola sepak.

Sebagai anak jati Johor, saya bukan lah mahu bersikap bias, tetapi Johor sentiasa jadi Johor. Kurang ajar tetap santun, menikam dengan pantun.

Anak kambing lari-lari,
Harimau tinggalkan bayang,
Esok ubah lagi,
Lusa dah boleh menang.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen