Festival bola sepak di Kuala Lumpur Mac depan

Oleh Zulhelmi Zainal Azam 23 January 2019 2451
Festival bola sepak di Kuala Lumpur Mac depan
Skuad Harimau Malaya atau skuad bawah 22 tahun negara? Itu pilihan yang perlu anda selaku peminat bola sepak negara lakukan apabila dua kejohanan bola sepak antarabangsa akan berlangsung serentak di Kuala Lumpur, Mac ini.

Tatkala pasukan 'abang' akan beraksi dalam Four Nations Cup atau Piala Empat Negara, pasukan 'adik' pula akan bertarung dalam kempen kelayakan AFC Bawah 23 2020. 

Kedua-dua kejohanan yang akan diadakan pada waktu kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa FIFA itu menawarkan pakej menarik untuk disaksikan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM mengesahkan satu pasukan yang pernah beraksi dalam Piala Dunia serta Piala Asia sudah mengesahkan penyertaan untuk saingan Piala Empat Negara yang kali pertama bakal diadakan. 

Saya difahamkan pasukan terbabit New Zealand yang beraksi dalam Piala Dunia 2010Afrika Selatan dan satu lagi pasukan adalah Oman yang bersaing dalam kempen Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu UAE.

Namun, Oman sudah mengucapkan selamat tinggal dalam kejohanan itu selepas tersungkur di peringkat 16 akhir. Kesudian New Zealand untuk mengambil bahagian mungkin kerana faktor jurulatihnya, Fritz Schmid, yang merupakan pengarah teknikal FAM, sebelum ini.

Badan induk itu kini hanya menunggu lampu hijau satu lagi pasukan yang masih beraksi dalam kempen Piala Asia 2019 selepas hasrat untuk mendapatkan pasukan India tidak kesampaian. Saya difahamkan, pasukan itu adalah China.

Apa pun, kejohanan ini bakal menjadi medan terbaik buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe melonjakkan kedudukan ke ranking lebih baik menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022 pertengahan tahun ini.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee pula akan mengharungi kempen Kelayakan AFC Bawah 23 yang merupakan langkah pertama untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Malaysia diundi dalam kumpulan J bersama China, Laos dan Filipina.

Format kejohanan kelayakan AFC Bawah 23 itu menetapkan juara setiap kumpulan dan empat naib juara kumpulan terbaik akan layak ke pusingan akhir kejohanan di Thailand pada 2020.

Jika pasukan 'abang' mungkin ada pasangan kembar Aidil Zafuan dan Zaquan Adha, pasukan adik pula ada dua pemain muda yang semakin menjadi kegilaan peminat, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Apa pun, kehadiran dua kejohanan itu semestinya akan merancakkan lagi suasana bola sepak negara pada waktu itu yang boleh saya katakan ibarat satu 'festival' bola sepak akan berlangsung Mac ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen