Duka Sukan Di Bulan September

Oleh Rozaini Ahmad 29 September 2015 1352
Duka Sukan Di Bulan September
Teringat pulak kepada lagu "Wake Me Up When September Ends" oleh Kumpulan Green Day seperti terlalu berat dipikul oleh peminat sukan tanahair yang menyaksikan satu persatu ikon dan sukan utama tanahair tumbang dan diaibkan di peringkat antarabangsa.

Datuk Nicol Ann David hilang takhta nombor satu dunia selepas sembilan tahun pada September, Datuk Lee Chong Wei tewas awal dalam dua saingan Siri Super juga dalam bulan September.

Tempias hilang mahkota dan kegagalan bekas pemain nombor satu dunia dalam skuasy dan badminton ini seperti satu petanda "bencana awal".

Diburukkan lagi keadaan tewas 0-10, skuad bola sepak senior kepada Emeriyah Arab Bersatu, UAE kekalahan yang pastinya terpahat dalam lipatan sejarah buruk pencapaian bola sepak sejak merdeka, sehinggalah mengundang bencana dengan sambutan lontaran mercun dan suar ke padang di Stadium Shah Alam.

Nantikan saja apa bentuk hukuman yang akan dihadapi bola sepak negara oleh FIFA, kerana nasi sudah menjadi bubur. terima sajalah padahnya.

Kecewa, sedar dan pasrah? Itulah bencana sukan tanahair di bulan September, pedih dan peritnya ketika satu negara menyambut pembentukan Malaysia pada 16 September.

Adakah ini petanda "wake up call" kepada semua penggiat sukan? Satu persoalan yang sering tergiang-ngiang dicorong telinga. Tetapi secara peribadi, saya melihat "tiada kesan".

Yang akan terus menjadi persoalan demi persoalan agenda peribadi, percakaran, pertelingahan, salah menyalah dan siapa yang harus dijadikan "kambing hitam" menjadi budaya sukan tanpa melihat dengan "mata hati" perjuangan yang dibawa atlit. Plot cerita yang sama terus dimomok.

Yang malu atlit dan rakyat Malaysia, bagaimana dengan pemimpin-pemimpinnya? Sedia pikul tanggungjawab atau biarlah "kambing hitam" yang memikul bebannya.

Saya berpegang kepada sukan menjadi "feel good factor kepada rakyat", jadi moga-moga ada sinar dan pengubat duka menjelma di bulan Oktober nanti.

Ayuh bangkitlah atlit negara buktikan anda ada wibawa harumkan nama negara walau ranjau penuh api dan duri jadi penghalang, walau ona dari dalam dan luar jadi tembok penghalang...harungi demi nama Malaysia yang tercinta.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen