Dick Fosbury: Perintis teknik lompat tinggi moden

Oleh Adam Zamri 30 April 2018 1102
Dick Fosbury: Perintis teknik lompat tinggi moden
Saya pasti peminat sukan tempatan sudah biasa melihat aksi atlet olahraga khususnya acara lompat tinggi.

Peserta akan berada dalam keadaan bersedia, membuat larian dan kemudian melompat dari sisi, badan akan melengkung ketika cuba untuk lepasi palang dan jika berjaya tanpa menjatuhkan palang itu, ketinggian yang dilakar akan dicatat. Namun tahukah anda, apakah nama teknik lompatan ini dan bagaimana ia bermula?

Teknik yang sering dilihat dalam sukan lompat tinggi kini dinamakan Lompatan Fosbury (Fosbury Flop).

Ia diperkenalkan seorang atlet Amerika Syarikat, Dick Fosbury, pada temasya Olimpik Mexico 1968. Ketika itu, masyarakat dunia masih belum pernah lihat teknik ini, kerana rata-rata atlet lompat tinggi pada era itu hanya menggunakan teknik seperti lompatan gunting, lompatan pelana dan juga lompatan western roll.

Semuanya bermula ketika dia berumur 16 tahun, menuntut di sekolah tinggi Medford, dan bersaing dalam acara lompat tinggi di sekolahnya, dia menemui cara yang dianggap pelik oleh kebanyakkan, berlari kemudian melayangkan badan ke belakang. Dia berjaya memperbaiki lompatan dari 1.5 meter hingga 1.9 meter.

Percaya dengan teknik terbarunya itu, Fosbury meneruskan serta menggilapnya ketika lanjutkan pelajaran di Universiti Oregon. Namun jurulatihnya, Berny Wagner percaya Fosbury mampu pergi lebih jauh jika dia menggunakan teknik konvensional seperti teknik lipatan gunting mahupun pelana.

Fosbury tidak mengalah dan terus memperbaikinya, sehingga dia berjaya tempatkan diri dalam skuad olahraga Amerika Syarikat selepas unggul melepasi Kelayakan Olimpik dengan catatan 2.16 meter, tetapi ketika itu masih ramai pihak tidak meletakkan harapan buat Fosbury untuk hadiahkan pingat.

Kemuncaknya adalah apabila dia berjaya layak ke pusingan akhir acara lompat tinggi di Olimpik Mexico 1968, dengan melakukan 2.24 meter, rekod baru Olimpik menggunakan teknik yang diciptanya sendiri. Dunia begitu kagum dengan persembahan ditampilkan Fosbury dan orang mula memperkatakan tentang teknik barunya itu.

Dikhabarkan edisi Olimpik yang seterusnya di Munich 1972, 28 daripada 40 atlet yang sertai lompat tinggi menggunakan teknik Fosbury, dan jumlah itu terus berkembang.

Dan sehingga kini ia dianggap teknik yang berkesan untuk meningkatkan lompatan setiap atlet, meninggalkan teknik-teknik seperti lipatan gunting dan pelana yang dianggap kurang efektif.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen