Detik terbaik Ozil jawab kritikan 

Oleh Shaiful Shamsudin 28 February 2019 1639
Detik terbaik Ozil jawab kritikan 
Mesut Ozil menjawab kekhuatiran terhadap cakap-cakap yang mengatakan sentuhannya semakin malap apabila membantu Arsenal mencipta dua aksi berkesan berturut-turut.

Ozil merupakan pemain kesayangan peminat tetapi nasibnya musim ini berubah sama sekali. 

Kemasukan Unai Emery untuk menduduki kerusi panas yang ditinggalkan Arsene Wenger sejak awal musim ini menyaksikan tiada lagi hak istimewa buat Ozil dalam kesebelasan utama. 

Dipengaruhi pergolakan dalam kem Jerman berikutan persembahan buruk dalam misi mempertahankan Piala Dunia 2018, ia mempengaruhi sentuhan terbaiknya. 

Selepas memulakan dua aksi awal musim -- menentang Manchester City dan Chelsea -- segalanya tampak sempurna buat Arsenal dengan merakamkan tujuh kemenangan berturut-turut sebelum hilang rentak bermula awal Oktober lalu selain masalah kecederaan belakang dan lutut yang dialami Ozil. 

Hubungan Ozil dengan pengurusnya itu agak tegang lewat kebelakangan ini apabila dia secara sinis memuat naik gambarnya dalam keadaan cergas ketika mengikuti sesi latihan, berbeza dengan alasan Emery yang mendakwa pengatur serangan itu masih dibelenggu kecederaan. 

Lebih-lebih lagi, kehadiran Denis Suarez daripada Barcelona yang diramalkan mampu menggugat posisinya. 

Begitupun, Ozil membalas kritikan itu dengan persembahan memukau ketika membenam Bournemouth 5-1 untuk kemenangan kelapan berturut-turut di tempat sendiri, awal pagi tadi. 

Ia pembabitan ke-16nya dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini.

Pemain kidal itu melambungkan bola -- gerakan penyudah yang menjadi identitinya -- selain mencipta bantuan gol untuk Henrikh Mkhitaryan.

Ozil-Mkhitaryan umpama saling melengkapi di bahagian tengah dengan kedua-duanya mempunyai teknikal dengan gaya berbeza. 


Ozil tampak sedikit berbeza berikutan lebih gigih untuk turun membantu pertahanan, sekali gus menjadi petanda awal terhadap kebangkitannya. 

Masalah berkenaan Ozil ialah berkaitan dengan konsistensi dan keamatan.

Sudah semestinya pertemuan dengan seteru London, Tottenham, hujung minggu ini disusuli kempen Liga Europa menentang Rennes dan aksi berdepan Manchester United bakal menjadi tumpuan peminat untuk melihat sejauh manakah Ozil mampu menyesuaikan diri dengan taktikal Emery. 

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen