Copa America: Gergasi Amerika Selatan kekal reputasi 

Oleh Shaiful Shamsudin 28 June 2019 610
Copa America: Gergasi Amerika Selatan kekal reputasi 
Copa America 2019 semakin menghampiri kemuncaknya dengan Brazil mengetuai langkah ke separuh akhir di laman sendiri. 

Kempen melibatkan 12 negara itu menyaksikan dua pasukan jemputan dari Asia, Qatar dan Jepun, gagal menggugat prestij kejohanan itu. 

Qatar, dengan reputasi selaku juara Asia 2019, sekadar hadir untuk menimba pengalaman manakala Jepun dalam pembikinan apabila menampilkan skuad mentah di peringkat senior antarabangsa. 

Edisi ini pada asalnya dianugerahkan kepada Chile sebelum hak tuan rumah diserahkan kepada Brazil yang berhajat meneruskan kesinambungan mengadakan kejohanan berskala besar dalam tempoh sedekad yang menyaksikan penganjuran Piala Konfederasi 2013, Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik 2016.

Edisi ke-47 ini merupakan kali terakhir jadual penganjurannya yang tidak tetap kerana bermula tahun depan -- Argentina dan Colombia akan menjadi tuan rumah bersama -- Copa America akan diadakan selari dengan Kejohanan Euro.

Lima daripada pasukan yang rancak bersaing di Belo Horizonte, Porto Alegre, Rio de Janeiro, Sao Paulo dan Salvador di peringkat suku akhir ketika ini mengulangi pencapaian masing-masing dalam Copa America Centenario (2016), iaitu Peru, Argentina, Venezuela, Colombia dan Chile.

Brazil, yang pincang tanpa Neymar dalam persiapan terakhir, masih berbisa biarpun terpaksa melalui ranjau penentuan penalti dengan Paraguay, pagi tadi, untuk melangkah ke separuh akhir. 

Namun, finalis dua edisi terakhir, Argentina, gagal menjelmakan prestasi terbaik dan bakal berdepan sebuah pasukan belum kalah, Venezuela, jam 3 pagi esok waktu Malaysia. 

Begitupun, sukar untuk meramalkan nasib Argentina berikutan prestasi tidak menentu sebagaimana mereka memperlihatkan keampuhan dalam final Piala Dunia 2016 bertemu Jerman. 

Ketika itu, mereka tidak diberikan harapan susulan aksi longlai sepanjang peringkat kalah mati sebelum menjelmakan permainan jitu di kemuncak saingan. 

Peru berpeluang untuk mengulangi pencapaian di Argentina (2011) dan Chile (2015) dengan menduduki tempat ketiga tetapi terlebih dahulu perlu melepasi rintangan juara 15 kali, Uruguay, yang kali terakhir bergelar juara pada 2011. 

Perlawanan Colombia dan Chile (7 pagi esok waktu Malaysia) tentulah perlawanan yang paling dinanti-nantikan. 

Jurulatih Colombia, Carlos Queiroz, sudah pun melancarkan perang saraf awal dengan meluahkan keyakinan terhadap kemampuan anak buahnya untuk menafikan Chile daripada melakar kejuaraan hatrik tetapi dalam masa yang sama, rakan sejawatannya, Reinaldo Rueda, amat memahami selok-belok bola sepak Colombia yang merupakan negara kelahirannya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen