Chong Wei insan istimewa

Oleh Sharon Wee 2 July 2018 3715
Chong Wei insan istimewa
Ibarat petikan lirik lagu ‘Lagenda’ oleh Sheila Majid. 

Kaulah satu satunya
Di antara berjuta
Insan teristimewa
Patah tak tumbuh lagi
Hilang belum berganti
Kerana kau tersendiri
Kau kebanggaan kita
Kau budayawan bangsa
Engkau lagenda…

Datuk Lee Chong Wei juara 12 kali Terbuka Malaysia. 

Setiap langkah, setiap pukulan, setiap genggaman, setiap titisan air peluh dan setiap kali Chong Wei mencium bendera Malaysia di baju apabila capai kemenangan, membawa kegembiraan dan kebanggaan kepada Malaysia. 

Terima kasih Chong Wei. 

Bukan mudah buat Chong Wei kini berusia 35 tahun bertahan selama 70 minit untuk menghadapi darah muda Kento Momota yang ingin membuktikan sesuatu di tanah Malaysia, setelah dipanggil pulang ke Jepun pada hari kedua Terbuka Malaysia 2016 untuk siasatan kerana terlibat dalam perjudian yang membawa kepada penggantungannya selama setahun. 

Skil, pengalaman dan kelebihan bermain di tempat sendiri merupakan senjata pemain nombor enam dunia, Chong Wei, tetapi kepantasan dan stamina luar biasa ada pada Momota yang dalam perancangan dan persiapan rapi merangkul pingat emas di Olimpik Tokyo 2020. 

Lee Chong Wei! Lee Chong Wei! dilaung para peminat di stadium dan Chong Wei tidak mensia-siakan peluang untuk menang di set pertama 21-17. 

Tewas kepada musuh tradisi Lin Dan di final tahun lepas, Chong Wei tidak mahu mengecewakan para peminat kali ini, lagi-lagi di hadapan dua anak lelaki yang menyokong ayahnya dari tempat duduk penonton yang juga hero badminton Malaysia. 

Daripada riak muka dan isyarat badan Chong Wei, bekas pemain nombor satu dunia ini amat penat di akhir set kedua.

Tidak tahulah dari mana dia dapat mengumpulkan segala tenaga yang terakhir untuk menundukkan pemain 23 tahun, Momota, 23-21 dalam masa 42 minit sekaligus merebahkan badan tanda kepenatan dan juga lega, berjaya merangkul kejuaraan 2018 yang juga kali ke-12. 

Buat Momota, sudah pasti gilirannya akan tiba dalam masa terdekat. 

Stadium terus bergema melaungkan nama Lee Chong Wei! Lee Chong Wei!

Kita tidak tahu laungan itu akan berterusan sampai bila.

Namun apa yang kita tahu, Lee Chong Wei akan sentiasa menjadi insan istimewa buat Malaysia. 

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen