Biar Eropah jadi saksi kehebatan Tigress

Oleh Mirnawan Nawawi 15 June 2019 13748
Biar Eropah jadi saksi kehebatan Tigress
Secara realistiknya, Korea Selatan adalah lawan yang sukar buat skuad hoki negara menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam  separuh akhir kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH.

Lawan ini bukan sahaja berstatus gergasi Asia tetapi juga sudah sinonim beraksi dalam setiap Sukan Olimpik dan Piala Dunia jika dibandingkan dengan skuad negara.

Apatah lagi, kedudukan ranking dunia Korea Selatan, iaitu no. 11 dunia, terlalu jauh untuk dikejar Malaysian Tigress yang menghuni tangga ke-22 dunia.

Bagi saya, inilah satu cabaran yang perlu dipikul barisan kejurulatihan diketuai Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan para pemainnya dalam misi melangkah ke pentas final kejohanan di Banbridge, Ireland Utara, itu untuk menjamin slot ke pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Di atas kertas, semestinya Korea Selatan adalah lawan yang lebih hebat tetapi saya tidak berasakan ia satu perkara mustahil buat Malaysian Tigress untuk mencipta kemenangan ke atas lawan ini.

Ada perkara yang perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum memulakan aksi menentang Korea Selatan, antaranya setiap pemain harus bermain di tahap sebenar mereka dan perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada.

Barisan pertahanan perlu diperkemaskan supaya tidak mudah memberikan pukulan sudut penalti kepada Korea Selatan seperti dilakukan ketika menentang Perancis meskipun kita menang 3-2 dalam pusingan play-off sebelum ini.

Saya bersetuju dengan pandangan Dhaarma yang mendedahkan taktikalnya untuk banyak bermain bertahan sambil menanti peluang untuk melakukan serangan balas pantas.

Ini kerana Malaysian Tigress tidak pernah menang lagi ke atas Korea Selatan dalam tiga pertemuan di antara kedua-dua pasukan, dengan kekalahan 1-3 sewaktu Trofi Juara-Juara Asia tahun lalu adalah keputusan yang agak baik buat skuad negara.

Berdasarkan prestasi semasa ditunjukkan pemain terutama di peringkat kumpulan, saya melihat skuad negara berpotensi untuk mencatat kemenangan pertama ke atas lawan tersebut.

Sebagai pencinta hoki tanah air, sudah tentu saya mengharapkan Malaysian Tigress mampu melakar kejutan kerana inilah masa terbaik untuk mereka memperlihatkan segala kerja keras dalam sesi latihan selama ini berbaloi.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen