Bayangan Sang "Emperor"

Oleh Shahrazad Sani 23 April 2018 3270
Bayangan Sang
Di Gold Coast 2018, saya berpeluang membawakan liputan skuad terjun negara memperagakan kehebatan sebagai antara jaguh Komanwel ditunjangi aksi lima bintang Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong.

Lima terjunan berkelas dunia tanpa cacat cela di mata amatur saya membuktikan mengapa mereka berhak untuk dikalungkan pingat emas 10 meter platform seirama.

Antara sentimen yang terbit dalam hati saya, ini adalah antara bekalan bekas ketua jurulatih negara Yang Zhuliang yang terpaksa meninggalkan skuad kebangsaan dalam keadaan penuh kemelut hujung 2017.

Tetapi pada masa sama saya melihat sisi gelap, juga kesan kurang positif daripada pemergian dia.

Jun Hoong dan Pandelela misalnya tidak berupaya meneruskan aksi menakjubkan ketika bergandingan dalam saingan individu malah terkeluar daripada kedudukan podium.

Benar pelbagai faktor memainkan peranan, tetapi saya percaya Zhuliang akan tahu apa untuk dibisikkan kepada mereka dalam waktu tekanan memuncak atau keperluan untuk keluar daripada situasi belenggu.

Skuad lelaki diketuai Ooi Tze Liang pasti mahu melupakan Gold Coast memandangkan mereka tidak beraksi di atas kemampuan sebenar ketika harapan besar dan tumpuan sama diberikan.

Saya memerhati kaedah Christian Brooker jurulatih yang dibawa masuk untuk memperkasa skuad terjun pasca Zhuliang sebagai belum menghadirkan kesan efektif seperti yang diidamkan.

Jurulatih atau tenaga kepakaran barat berdasarkan apa yang saya lihat lebih gemar memberikan pendekatan bersifat sahabat yang saling sokong menyokong berbanding figura bapa yang tegas.

Ada waktu, hubungan akrab itu diperlukan atlet, ada waktu juga perlukan peringatan, mungkin faktor itu yang hilang apabila penerjun lelaki kita gagal menemui arah sebenar sewaktu beraksi.

Dalam ujian besar pertama skuad terjun tanpa pembina empayar ini ibarat emosi yang berkecamuk, persis belum berupaya untuk keluar daripada bayangan Zhuliang.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen