Barisan terbaik taruhan Cheng Hoe

Oleh Fadzrie Hazis 17 May 2019 5803
Barisan terbaik taruhan Cheng Hoe
Sejak dilantik selaku pengendali skuad senior kebangsaan pada penghujung 2017, penulis akui hampir setiap kali Tan Cheng Hoe membentuk barisan negara ia seakan-akan ada ramuan pemain yang tidak mencukupi.

Tetapi untuk saingan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Timor Leste bulan depan, 26 pemain yang dipanggil kali ini adalah yang terbaik yang berjaya dihimpunkan Cheng Hoe.

Sembilan pemain Johor Darul Takzim (JDT) menjadi taruhan Cheng Hoe, dengan selebihnya dari Pahang (lima pemain), Selangor (empat pemain), Perak (empat pemain), PKNS FC ( dua pemain) dan satu pemain dari Kedah dan Kuala Lumpur.

Cheng Hoe turut mengambil tindakan berani untuk mengetepikan penyerang dan kapten skuad negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, kali ini.

“Saya enggan mengatakan ia barisan terbaik yang pernah saya kumpulkan sejak menjadi pengendali kebangsaan.

“Tetapi saya akui ia barisan paling seimbang dalam usaha kami membentuk barisan ampuh untuk menangani Timor Leste,” kata Cheng Hoe ketika dihubungi penulis baru-baru ini.

Pengalaman dan kemampuan JDT bersaing di saingan Liga Juara-juara AFC jelas membuktikan mengapa pemain kelab itu menjadi teras skuad negara.

Penulis menjangkakan penyerang serba boleh JDT, Syafiq Ahmad, menjadi calon utama Cheng Hoe untuk mengepalai skuad negara dengan formasi 4-3-3 atau 4-2-3-1 yang kerap menjadi pilihan formasi bekas pengendali Kedah itu.

Syafiq jelas mempamerkan kematangan sejak menyertai JDT musim lalu dan ia terbukti dengan kemampuannya menjaringkan gol kemenangan berdepan Kashima Antlers dalam saingan Liga Juara-Juara AFC baru-baru ini.

Agak menarik untuk melihat bagaimana Cheng Hoe menggandingkan pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha, Safawi Rasid dan Syahmi Safari bersama Syafiq di bahagian tengah, serangan dan sayap.

Di bahagian benteng, terdapat beberapa pilihan buat Cheng Hoe dengan tersenarainya pemain seperti Adam Nor Azlin dan Shahrul Saad yang masih mendapat kepercayaan pengendali itu.

Kali ini Cheng Hoe jelas memilih pemain berlandaskan prestasi semasa dan bagi penulis, kesemua 26 pemain yang dipanggil kali ini berada dalam prestasi terbaik di Liga Super.

Menarik juga untuk melihat di mana Cheng Hoe akan menggunakan Syahmi selepas pemain itu kebelakangan ini lebih banyak digunakan sebagai sayap kanan di Selangor.

“Syahmi adalah seorang pemain serba boleh dan memang dia menjadi aset buat skuad negara dengan kemampuannya beraksi sebagai bek atau sayap kanan,” kata Cheng Hoe.

Penulis berharap tiada masalah kecederaan pemain yang serius apabila mereka melaporkan diri pada 27 Mei ini sebelum berdepan Nepal dalam aksi persahabatan, 2 Jun depan.

Dengan skuad kali ini, penulis berharap kita mampu melangkah lebih jauh dalam saingan kelayakan Piala Dunia dan jika boleh, layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

PENJAGA GOL
Farizal Marlias (JDT)
Hafizul Hakim (Perak)
Ifwat Akmal (Kedah)

PERTAHANAN
Adam Nor Azlin (JDT)
Dominic Toretto (JDT)
Shahrul Saad (Perak)
Irfan Zakaria (Kuala Lumpur)
Rodney Celvin (PKNS FC)
Matthew Davies (Pahang)
Corbin Ong (JDT)
Syazwan Andik (JDT)
Syahmi Safari (Selangor)

TENGAH
Syamer Kutty (JDT)
Nor Azam Azih (Pahang) 
Faiz Nasir (Selangor)
Akram Mahinan (PKNS FC)
Halim Saari (Selangor)
Kenny Palraj (Perak)

SAYAP
Akhyar Rashid (JDT)
Mohamadou Sumareh (Pahang)
Faisal Halim (Pahang)
Syazwan Zainon (Selangor)

PENYERANG
Syafiq Ahmad (JDT)
Safawi Rasid (JDT) 
Norshahrul Idlan Talaha (Pahang)
Shahrel Fikri (Perak)

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen