Bale, tinggalkanlah bumi Sepanyol

Oleh Nafis Abdullah 19 May 2019 16730
Bale, tinggalkanlah bumi Sepanyol
Musim yang penuh liku dilalui oleh Real Madrid akhirnya tamat dalam situasi penuh perit tatkala kempen LaLiga musim 2018/19 diakhiri dengan kekalahan 2-0 di tangan Real Betis.

Selain 14 nama yang telah dikaitkan dengan jalan keluar musim depan susulan hasrat pengendali Los Blancos, Zinedine Zidane, yang mahu merombak skuad bagi menghadapi saingan 2019-20, tidak terkecuali untuk dilaporkan turut bakal meninggalkan Santiago Bernabeu semestinya bintang Wales, Gareth Bale.



Bale merupakan pemain yang hanya memanaskan bangku simpanan dalam perlawanan yang dipercayai bakal menjadi penampilan terakhirnya bersama Madrid dan dia dilihat terus meninggalkan padang, berjalan ke arah terowong laluan pemain sebaik sahaja pengadil meniupkan wisel penamat.

Diilihat bertegur sapa dengan ahli fisioterapi Betis, Marcos Alvarez, yang dikenali sewaktu menyarung jersi Tottenham Hotspur, Bale pantas meninggalkan padang.

Selepas langsung tidak memanaskan badan atau memberi sebarang petanda bakal dibawa masuk, Bale juga tidak menyertai rakan sepasukan lain yang memberikan tepukan kepada penyokong sendiri -- tatkala barisan pemain Los Blancos diejek susulan penampilan buruk musim ini.

Berdasarkan reaksi yang dipamerkan, jelas sekali Bale sudah tidak mempunyai keinginan untuk memperjuangkan nasibnya di bawah kendalian Zidane, pengurus yang lebih gemar menggunakan khidmat Marco Asensio, Lucas Vazquez Isco dan Vinicius Junior berbanding bekas pemain termahal dunia itu.



Madrid mengharungi musim kedua terburuk dalam sejarah LaLiga buat kelab ibu negara Sepanyol itu selepas meraih 12 kekalahan dan 17 keseluruhan, hanya kurang dua berbanding 19 kekalahan paling teruk dalam sejarah yang dialami ketika musim 1984-85.

Persoalannya, ke mana hala tuju Bale musim depan?

Spurs dikaitkan sebagai destinasi untuk Bale sekiranya kembali ke England sambil Manchester United juga masih mengekalkan minat terhadap bekas produk Southampton itu walaupun terlepas khidmatnya pada 2013 tatkala dia memilih untuk ke Santiago Bernabeu.

Jelas sekali Zidane tidak mahukan khidmat Bale tetapi walaupun legenda Perancis itu pastinya menerima sokongan penuh presiden kelab, Florentino Perez, tetapi dia juga perlu sedar bahawa kekalutan dalam pasukan ketika ini pastinya menyukarkan sebarang usaha untuk menyingkirkan Bale.

Minggu lalu, wujud laporan bahawa Madrid telah mengemukakan tawaran untuk memberi peluang buat Bale agar dipinjamkan ke kelab lain demi untuk mendapatkan minit beraksi tetapi ejennya, Jonathan Barnett, tetap bertegas bahawa pemain berusia 29 tahun itu akan kekal di Santiago Bernabeu.



Memandangkan Los Blancos semakin hampir untuk membawa masuk Eden Hazard, Luka Jovic serta beberapa lagi wajah baru, jalan terbaik buat Bale semestinya menerima hakikat bahawa dia tidak lagi diperlukan di Madrid.

Kelab mahu meminjamkannya ke pasukan lain dan pengurus pasukan sendiri secara terbuka tidak lagi berminat menggunakan khidmatnya, jadi apa lagi yang ditunggu?

Keluar sahajalah Bale dan tinggalkan bumi Sepanyol. Setiap musim pasti wujud kritikan dan spekulasi dia bakal keluar daripada Los Blancos, jadi apa yang ditunggu lagi?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen