Arsenal sudah perlu utamakan saingan UEL

Oleh Ammar Hakim 4 March 2018 3698
Arsenal sudah perlu utamakan saingan UEL
Tidak pasti sama ada ego atau enggan mengakuinya, Arsenal perlu mula bergantung kepada saingan Liga Europa (UEL) bagi memastikan mereka meraih tiket untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Menerusi laporan daripada goal.com, pengurusnya, Arsene Wenger, enggan meletakkan keutamaan kepada saingan UEL dalam misi untuk kembali beraksi dalam UCL musim depan -- walaupun sudah ketinggalan 10 mata di belakang penghuni tangga keempat liga, Tottenham.

Pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey, pula berharap untuk memenangi  kesemua baki 10 perlawanan EPL bagi memastikan mereka dapat mengakhiri saingan dalam kelompok empat terbaik.

Brighton & Hove Albion, Watford, Stoke City, Southampton, Newcastle United, West Ham, Manchester United, Burnley dan Huddersfield Town merupakan sembilan lawan yang perlu ditempuhi Arsenal -- tewas 3-0 kepada Manchester City dalam aksi pada awal pagi Jumaat lalu menyaksikan sudah The Gunners kekurangan satu perlawanan daripada sasaran yang telah ditetapkan.

Mengapa perkara ini perlu berlaku? Wenger dan rakan-rakan, bangkitlah daripada angan-angan anda!

Tidak salah jika mengambil contoh daripada The Red Devils musim lalu. Walaupun pengendali pasukan, Jose Mourinho, tidak berminat dengan saingan UEL, ia adalah tiket terbaik buat mereka untuk beraksi dalam kancah aksi bola sepak Eropah yang tertinggi pada musim ini.

Bertemu AC Milan dalam aksi kalah mati pada awal 9 Mac nanti (waktu Malaysia jam 2 pagi), ia bakal menjadi satu halangan yang besar kerana berdepan pasukan yang turut dalam misi membuktikan mereka sudah kembali untuk bersaing dalam golongan pasukan elit di Eropah.

Tetapi kehadiran gandingan daripada Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang dan Henrikh Mkhitaryan, dalam pasukan ini harus digunakan dengan sebaik mungkin kerana sentuhan mereka di pentas Eropah cukup digeruni oleh mana-mana pasukan.

Aksi longlai ketika tewas 3-0 dalam aksi final Piala EFL di Wembley juga perlu dilupakan -- Gary Neville menyifatkan sebilangan pemain hanya berjalan di atas padang merupakan satu perkara yang memalukan. Jelas The Gunners perlu memberikan respons terhadap perkara ini.

Jangan pandang remeh aksi UEL, tiket anda untuk kembali bersaing dengan golongan elit Eropah.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen