Arsenal perlu sedar diri!

Oleh 27 February 2018 7644
Arsenal perlu sedar diri!
Tiada yang lebih perit apabila melihat kelab kesayangan tewas di pentas akhir, maaf izinkan saya membetulkan ayat, tewas dalam satu-satunya pentas akhir untuk musim ini.

Perlawanan pada lewat malam Ahad berdepan Manchester City dalam aksi final Piala Liga Inggeris mungkin berkesudahan dengan pesta gol tatkala anak buah Pep Guardiola menunjukkan apa itu erti bola sepak sebenar.

Arsenal pernah bermain sebegitu, hantaran pendek dengan setiap pemain membuat sentuhan mencari rakan sepasukan seperti mesin pinball dan disudahkan dengan gol tetapi zaman itu sudah berlalu. Thierry Henry sudah bersara, Andrey Arshavin pula bawa diri balik ke Russia, Emmanuel Eboue pula entah hilang ke mana.

Laungan Wenger keluar sudah dimainkan sejak beberapa musim lepas dan sekali lagi didendangkan semula, namun masih tiada tanda-tanda akan ada reformasi baru dilaksanakan.

Selepas ini, pasukan “Meriam Perang” bakal berjumpa dengan AC Milan dalam suku akhir Liga Europa. 

Ironinya, AC Milan mengalami situasi lebih kurang sama dengan Arsenal. Dahulunya juara liga dan antara kuasa besar Eropah, bersaing dalam Liga Juara-Juara, namun untuk sekarang ini, AC Milan tidak jauh beza dengan Arsenal, apabila sedang terkapai-kapai untuk berikan cabaran dan kali terakhir mereka memenangi Serie A adalah pada musim 2010-2011.

Sejak 1995, kedua-dua pasukan ini sudah pun bertemu sebanyak enam kali dengan kali terakhir adalah pada 2012 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Arsenal menang 3-0. 

Jika diimbas kembali perlawanan tersebut, perlawanan kedua timbal balik, yang menyaksikan AC Milan sebelum itu membelasah Arsenal 4-0.  Laurent Koscienly, Tomas Rosicky dan Robin Van Persie cuba menghidupkan kembali api perjuangan untuk The Gunners pada malam 6 Mac di Stadium Emirates.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen