Apakah penamat kisah si Tanggang versi Milan -- Gigi Donnarumma?

Oleh Hafiz Wahid 21 June 2017 106
Apakah penamat kisah si Tanggang versi Milan -- Gigi Donnarumma?
Gianluigi Donnarumma, penjaga gol berusia 16 tahun suatu ketika dahulu telah diberi penampilan pertama oleh AC Milan dalam kancah Serie A Itali.

Tiada siapa mengenali penjaga gol ini, apatah lagi bakatnya yang mungkin mampu menggegarkan bola sepak dunia.

Dia tidak menoleh ke belakang selapas itu. Dengan aksi cemerlang, dia berjaya muncul sebagai penjaga gol utama AC Milan pada usia 17 tahun.

Tahun itu juga menyaksikan dia dipanggil dalam skuad senior Itali dan menjadi penjaga gol termuda dalam sejarah membuat penampilan pertama bersama Azzuri.

Donnarumma juga tidak pernah berselindung mengenai rasa sayang dan cintanya kepada kelab AC Milan, yang menjadi batu loncatan kariernya.

Apatah lagi, AC Milan kini sedikit demi sedikit keluar dari zaman kegelapan selepas Silvio Berlusconi menjual semua saham kelab kepada Rossoneri Sport Investment Lux, sebuah syarikat yang dimiliki pelabur China, Li Yonghong.

“Semua orang tahu keinginan saya adalah untuk kekal bersama Milan. Semua pihak tahu kehendak saya. Warna merah hitam mengalir dalam diri saya. Saya mencari rumah di kota ini untuk diduduki bersama orang tersayang,” kata Donnarumma pada 12 Jun lalu.

Kisah Si Tanggangnya bermula tiga hari selepas itu. Kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif AC Milan, Marco Fassone, mengejutkan semua pihak.

“Raiola (agen Donnarumma) memaklumkan kepada kami, Donnarumma mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama Milan. “ kata Fassone dalam sidang media.

“Kami telah menawarkan kontrak kepadanya. Dia sudah melihatnya, namun mengambil keputusan untuk menolak yang mana menyaksikan kontraknya ketika ini akan tamat pada 30 Jun 2018.”

“Kami semua terkejut memandangkan dia mungkin penjaga gol Milan untuk masa akan datang. Ia mengecewakan, namun kami akan perlu terus bergerak ke depan.”

Jika versi klasik kisah Tanggang yang tidak mengaku ibu bapa sendiri selepas malu dengan isterinya, Donnaruma pula seperti ‘membuang’ Milan, mungkin selepas ‘dipukau’ ejennya sendiri, Mino Raiola.

Kebanyakan penyokong Milan menyalahkan Raiola sebagai punca Donnarumma mengubah keputusan. Dia dilabel ‘Dollarumma’ yang diibaratkan mata duitan, malah turut dilempar wang dollar palsu oleh peminat ketika perlawanan dalam Kejohanan Eropah Bawah 21 tahun, baru-baru ini.

Namun, Raiola mempertahankan keputusan kliennya sambil menyalahkan AC Milan dalam hal ini.

“Mereka mendesak kami. Milan yang membuatkan mereka kehilangan Donnarumma. Kami mengambil keputusan yang tidak sepatutnya kami ambil. Ia bukan sebab duit. Kami diugut, kaum keluarganya turut diugut bunuh,” kata Raiola kepada Sky Sports Italia.

Curva Sud Milano, sebuah kelompok penyokong tegar Milan kemudian mengeluarkan kenyataan menempelak Raiola dan Donnarumma.

“Ia kedengaran aneh apabila melihat Raiola, yang selalunya membenci wartawan, mengeluarkan kenyataan kepada mereka, malah mengeluarkan perkataan seperti dipaksa, diugut dan dia cuba menyelamatkan keadaan”

“Ia kedengaran aneh apabila Francesco Totti diraikan selepas bersara, dalam tangisan di depan penyokongnya, namun seorang budak 18 tahun lebih memilih wang walaupun dia dianggap tuhan oleh penyokongnya,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Mungkin Donnarumma patut melihat legenda Milan yang pernah berpindah keluar, gagal menyinar bersama kelab baru.

Legenda yang dimaksudkan ialah Kaka dan Andriy Shevchenko.

Ke mana destinasi Donnarumma selepas ini?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen