Apa sebenarnya masalah Manchester United?

Oleh Shaiful Shamsudin 31 August 2019 19898
 Apa sebenarnya masalah Manchester United?
Bukan main garang lagi Manchester United membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan kemenangan 4-0 ke atas Chelsea. 

Segala-galanya tampak sempurna buat The Red Devils yang menaruh keyakinan bahawa Ole Gunnar Solskjaer mampu mengembalikan kegemilangan kelab itu dalam masa terdekat, apatah lagi karier beliau memuncak dalam DNA era Sir Alex Ferguson. 

Girangnya peminat mereka bukan kepalang kerana dalam kemenangan bergaya itu, mereka mengetengahkan kudrat barisan termuda dalam kalangan 20 pasukan, iaitu purata 24 tahun dan 227 hari. 



Begitupun, saya katakan kepada rakan-rakan terdekat yang terlalu asyik memuja United ketika itu agar tunggu dulu, jangan gopoh. 

Saya berpesan kepada mereka supaya merujuk kepada kejayaan mengikat Liverpool 0-0 dan kemenangan 2-0 ke atas Chelsea, Februari lalu. 

Biasalah pemain muda, mereka cepat berpuas hati dan kemenangan bergaya selalunya membawa mereka kepada tempoh berbulan madu. 

Tidak percaya? Tengoklah prestasi mereka selepas menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara (UCL) -- kalah lima kali berturut-turut. 

Sempena musim baru, Solskjaer dianggap mempunyai waktu untuk membuang anasir-anasir buruk dalam kemnya. 

Tapi pada akhirnya, kepincangan mereka mulai terdedah satu persatu. 

Siapa lagi yang mahu dijadikan kambing hitam selepas ini? Romelu Lukaku sudahpun angkat kaki disusuli Alexis Sanchez.

Berdasarkan pengamatan, kelemahan paling ketara ketika ini adalah ketiadaan karakter pemimpin dalam pasukan itu. 



Siapa lagi yang mahu diharapkan?

Kalau dulu ada Zlatan Ibrahimovic, jadi kuranglah pemain yang berani 'buat kepala'. Paul Pogba, Marcus Rashford dan Anthony Martial sukar membantah dengan kehadiran sang singa sepertinya. 

Ashley Young pula sudah melepasi era terbaiknya, namun dinamakan ketua pasukan musim ini atas pengalaman luasnya di dalam mahupun di luar padang. 



Cuma dia bukan lagi pilihan utama, jadi David De Gea yang akan memakai lilitan di lengan. 

Masalahnya, situasi masa depannya di Old Trafford juga tidak menentu dan jika dia tidak melanjutkan kontraknya lagi, maka dia boleh menentukan destinasi baru secara perpindahan 'Bosman'. 

Adakah ura-ura kesudian Ibrahimovic akan kembali satu berita yang amat dialu-alukan? Pastinya ia satu perkembangan yang menarik.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen