Anak ketiga, Kumar di Argentina

Oleh Bazly Azmi 26 May 2018 3354
Anak ketiga, Kumar di Argentina
"Bazly, isteri saya lahirkan anak ketiga, baby boy. Isteri dan anak selamat".



Itu pesanan ringkas yang saya terima daripada S. Kumar, penjaga gol hoki negara yang berada di Argentina untuk program enam aksi persahabatan.

Saya termenung seketika, memikirkan berapa banyak pengorbanan sudah dilakukan Kumar demi menyarung jersi The Malaysian Hockey Tigers.

Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India. Kumar terpaksa bergegas pulang ke tanah air selepas mendapat berita ayahnya meninggal dunia.

Sebelum dia berangkat ke New Delhi, ayahnya sedang sakit namun dia tetap gagahkan juga demi tugas untuk negara.

Hilanglah penyokong kuat yang membawanya ke padang hoki ketika kecil.

Separuh Akhir Liga Dunia 2015 di Antwerp, Belgium. Ketika skuad negara bersiap-sedia memulakan perlawanan sulung dalam perebutan tiket Sukan Olimpik Rio 2016, Kumar mendapat berita anak keduanya meninggal dunia.

Lemah lutut penjaga gol senior ini dan terpaksa dipapah menuju ke lapangan terbang untuk pulang ke tanah air.

Jumaat lalu, Kumar sekali lagi terlepas saat penting bersama keluarga. Isterinya melahirkan bayi lelaki yang comel ketika penjaga gol kelahiran Tampin, Negeri Sembilan ini berada di Argentina.

"Isteri saya bagi kekuatan dan semangat untuk saya ke Argentina. Dia tahu ini penampilan pertama saya selepas tamat penggantungan (kes doping). Saya rasa gementar tapi kami sentiasa berhubung termasuk ketika isteri saya dimasukkan ke bilik bersalin.

"Saya harap semuanya berjalan lancar hingga saya tamat misi di Argentina dan pulang ke pangkuan keluarga," kata Kumar.

Tabik spring untuk Kumar. Seorang lelaki yang sanggup berkorban apa saja untuk Malaysia.

Semoga impian menjejakkan kaki ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tercapai! 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen