Aizat pelibas nombor satu STL pusingan pertama. Pilihan anda?

Oleh Farizal Yusoff 8 October 2019
Aizat pelibas nombor satu STL pusingan pertama. Pilihan anda?
Alhamdulillah dan terima kasih kepada pembaca yang memberi respons kepada tulisan saya bertajuk 'Perang Tekong Makin Hebat'.

Ramai yang bimbang masa depan skuad sepak takraw negara akibat kekurangan tekong berkualiti hasil daripada pusingan pertama Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

Macam-macam pandangan diberikan (boleh baca diruangan komen) dan ternyata masih ramai yang sayangkan sukan ini.

Tinggalkan dulu isu itu. Kita beri tumpuan kepada pelibas atau striker yang mewarnai STL musim ini biarpun kebanyakan negeri masih mengekalkan muka lama.

Setakat ini, gaya pukulan backstroke dan gulung sahaja dihidangkan oleh 10 apit kanan yang beraksi dalam Liga Premier.

Berdasarkan pusingan pertama, saya ingin memilih (mengikut ranking) dari kaca mata sebagai seorang peminat tegar sukan tradisi ini.

Pelibas muda Johor Tigris, Noraizat Nordin, di tangga pertama kerana memiliki pukulan yang konsisten dan semangat juang yang tinggi. Memiliki ketinggian yang ideal (1.83 meter) dan boleh melibas dari kedua-dua arah memberi banyak kelebihan kepadanya. 'Killer' kelahiran Tangkak, Johor ini juga memiliki hadangan yang baik dan membentuk gandingan sempurna bersama Muqlis Borhan dan Farid Aziz.

Pelibas kedua mungkin Azlan Alias dari Penang Black Panthers. Pemegang pingat emas cara antara regu Sukan Asia Jakarta Palembang Ke-18 ini cukup bijak di udara dan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa memisahkan dia dengan pelibas lain. Cuma, sejak akhir-akhir ini Azlan mudah cedera!

Saya ingin memilih  Naim Izani Mohd Noor di tangga ketiga yang mendapat lebih perhatian selepas membantu Kelantan Warriors mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut di Spice Arena, Pulau Pinang. Kelemahannya, mungkin lambungan kepada tekong yang masih tidak konsisten. 



Mungkin pusingan pertama ini bukan rezeki apit kanan ATM Guardians, Afifuddin Razali. Pemain kelahiran Kelantan ini masih bergelut mencari rentak selepas digantung semusim daripada menyertai STL. Gaya permainan dan pukulannya menyamai Aizat. Cuma asyik batal bila pihak lawan buat 'challenge'. "Batal, kaki melepasi net," kata pengadil bertugas. Adoi...hilang mata lagi!

Untuk ranking kelima, saya memilih pelibas muda Perak Bison, Amirul Ramadan Fazillah. Pemain kelahiran Selama, Perak ini memiliki lentingan badan yang menarik semasa melakukan libasan. Dia cukup menyerlah dan paling utama, lambungan kepada tekong nombor satu Liga Thailand, Natthawut Naewprom, secukup rasa.

Itu pilihan saya untuk lima terbaik sepanjang pusingan pertama. Lima lagi pelibas macam mana?

Keenam, saya memilih pemain senior Kuala Lumpur Thunder, Hanafiah Dollah, yang cukup tenang di dalam gelanggang, silih berganti dengan pemain yang memiliki gulung padu, Norhafizi Razak, bagi memastikan kejayaan skuad warga kota itu.

Tempat ketujuh, milik Khairol Zaman Akhbar yang masih belum menyerlah sepenuhnya. Mungkin akibat kecederaan. Sering bertukar dengan apit kanan terbaik Piala Juara-Juara STL musim lepas, Hafizul Hayazi Adnan.



Apit kanan PDRM Defenders, Syukri Hassan di tempat kelapan dan dia memiliki pukulan gulung yang baik. Cuma, kesilapan di penghujung perlawanan perlu dielakkan.

Sebagai denda kerana Sabah Mountaineers di tangga terakhir tanpa sebarang mata, saya memilih bekas pemain Guardians musim lepas, Khairuddin Adnan, di tempat kesembilan manakala apit kanan Terengganu Turtles, Alif Mursyid, di tangga terakhir.

Namun, perlu diingat, dia masih muda dan mempunyai banyak masa untuk mengikut langkah cemerlang jurulatihnya, Futra Abdul Ghani.

Itu cerita 10 pilihan terbaik saya untuk apit kanan STL pusingan pertama. Anda macam mana? Siapa pilihan anda? Boleh kongsi di ruangan komen. Jom membawang!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen