Aguero hilang, City tempang

Oleh Nafis Abdullah 5 April 2018 7115
Aguero hilang, City tempang
Manchester City jelas meratapi ketiadaan Sergio Aguero ketika menentang Liverpool dalam aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi hingga tewas 3-0 di Anfield.
 
Tanpa kehadiran penyerang Argentina itu, anak-anak buah Pep Guardiola tampak buntu dalam merencanakan segala serangan walaupun mempertaruhkan Leroy Sane, Kevin De Bruyne, David Silva dan Gabriel Jesus di jentera serangan.
 
Tiga gol hasil jaringan Mohamed Salah, Alex Oxlade-Chamberlain dan Sadio Mane membuktikan City belum sedia untuk berjuang tanpa kelibat Aguero, sekali gus menimbulkan persoalan adakah mereka sudah bersedia untuk menerima keputusannya untuk balik ke Independiente sebaik sahaja tamat kontrak pada 2020.
 

 
Satu lagi teka-teki yang mungkin membuatkan Guardiola mula risau adalah sejauh mana kemampuan Jesus untuk menggantikan tempat penjaring gol terbanyak sepanjang zaman buat City itu.
 
Sejak tiba di Etihad pada 2011, penyerang berusia 29 tahun itu secara konsisten telah membuktikan statusnya sebagai pemain terbaik pernah dimiliki City apabila menjaringkan 199 gol hasil daripada 247 penampilan, selepas tujuh tahun berada di England.
 
Walaupun berdepan saingan sengit daripada Jesus untuk merebut tempat selaku penyerang utama City pada musim ini, dia pantas menggunakan kesempatan hasil kecederaan yang dialami pemain Brazil itu dengan mencatat 21 gol selepas 31 perlawanan bagi musim 2017/18.
 

 
Aksi di Anfield hanyalah satu bukti mudah bahawa Aguero menjadi kunci utama kepada aksi cemerlang The Citizens pada musim ini apabila segala cetusan idea daripada Silva dan De Bruyne gagal diterjemahkan kepada jaringan oleh Sane dan Jesus.
 
Walaupun Jurgen Klopp hanya mempertaruhkan kudrat muda di bahagian benteng (Trent-Alexander-Arnold dan Andrew Robertson), setiap gerakan Sane mudah dipatahkan sementara kelebihan fizikal digunakan sebaiknya oleh Virgil Van Dijk serta Dejan Lovren untuk merantai ke mana sahaja hala tuju Jesus.
 

 
Tatkala aksi getir di Etihad pada Ahad ini menentang Manchester United menjadi penentu buat City untuk mengesahkan gelaran liga lebih awal, Guardiola pasti berdepan situasi rumit untuk merangka strategi kerana perlu melakukan perhitungan akhir dengan Liverpool tiga hari kemudian bagi memastikan tempat ke separuh akhir.
 
Defisit tiga gol bukan sesuatu yang mudah sambil berdepan United yang memiliki rekod pertahanan kedua terbaik di England pada musim ini tentunya memerlukan ketajaman jentera serangan, atau lebih jelas, Jesus perlu lebih klinikal -- sekiranya Aguero masih belum pulih daripada kecederaan -- terhadap setiap peluang yang diraih.
 

 
Apa yang pasti, kelibat Aguero masih menjadi senjata utama City kerana walaupun De Bruyne, Sane dan Silva menduduki tangga teratas dalam senarai bantuan gol Liga Perdana Inggeris, ia tidak memberikan sebarang makna sekiranya setiap peluang terhidang tidak diakhiri dengan jaringan.
 
Jika dua tahun lalu, Zlatan Ibrahimovic menyifatkan dirinya sebagai "Tuhan" sewaktu tiba di Old Trafford, mungkin Aguero adalah pemegang sebenar status itu di Etihad.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen