Kejayaan AS Monaco menjadikan Manchester City sebagai bahan ketawa dunia bukanlah secara kebetulan.

Semalam, mereka mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan menyingkirkan kelab Inggeris itu secara agregat 6-6, namun menang hasil peraturan gol di tempat lawan.

Malah, mereka juga sedang menerajui Ligue 1 dengan mengatasi pencabar terdekat, Paris Saint-Germain (PSG), dengan kelebihan tiga mata menerusi 21 kemenangan dalam 29 perlawanan.

126 -- itulah jumlah gol yang dihasilkan mereka musim ini.

Tahukah Monaco adalah negara kedua terkecil di dunia dengan populasi seramai 33,000 penduduk sahaja.

Pendek kata, bolehlah mengaitkan kedudukan mereka seperti Singapura.

Tetapi, itu semua tidak menghalang cita-cita besar mereka dalam dunia bola sepak dengan menumpang Liga Perancis.

Mereka pernah mencipta nama di pentas antarabangsa apabila pernah beraksi dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim 2004 sebelum dikecewakan oleh Porto.

Selepas itu, pencapaian mereka mulai merundum sebelum tergelincir ke lembah Ligue 2, Perancis.

Bagaimanapun, hasil inspirasi hartawan Russia, Dmitry Rybolovlev, sebagai pemilik baru mencetuskan kebangkitan mereka.

Itu pun melalui proses, bukan secara sekelip mata.

Ricardo Carvalho, Radamel Falcao, Dimitar Berbatov, Jeremy Toulalan dan Eric Abidal adalah antara bintang utama mereka dalam kerakusan Rybolovlev untuk mencipta kejayaan segera.

Selepas dua musim berjuang dalam Ligue 2, Monaco kembali dalam saingan Ligue 1 ketika diterajui Claudio Ranieri.

Meskipun menamatkan kempen Ligue 1 pada musim berikutnya di tangga kedua, Ranieri menjadi mangsa kepada sikap tidak sabar Rybolovlev selepas berbelanja besar dan akibatnya, dia kehilangan jawatan.

Rybolovlev mula sedar kewangan tidak semestinya menjanjikan kejayaan dan berubah fikiran dengan memperkenalkan polisi baru dalam pembelian pemain, iaitu lebih mengutamakan pemain muda yang berpotensi dan dalam masa yang sama, merombak sistem akademi mereka dengan pelantikan bekas tonggak tengah Chelsea, Claude Makelele.

Peraturan Kewangan Fair Play yang diperkenalkan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) juga memainkan peranan perkembangan bakat-bakat tempatan.

Hasilnya, ramai bakat muda berjaya digilap untuk mereka mengimbangi perbelanjaan mereka, antaranya Anthony Martial (Manchester United), Yannick Carrasco (Atletico Madrid), James Rodriguez (Real Madrid), Geoffrey Kondogbia (Inter Milan) dan Layvin Kurzawa (PSG).

Selepas kejayaan ke atas City, harga pasaran pemain tengah mereka, Thomas Lemar, dan penyerang berusia 19 tahun, Kylian Mbappe – yang dikatakan jelmaan Thierry Henry -- akan terus dipantau oleh kelab-kelab gergasi Eropah.

Apa yang dilakukan Monaco wajar dijadikan contoh pasukan Liga Malaysia, iaitu sokongan dana juga perlu diseimbangkan dengan pembangunan bakat muda.

Kepentingan pemain akademi cukup penting, bertepatan dengan falsafah kelab.

Sebab itulah, langkah berani pengendali baru Felda United, B. Sathianathan, wajar diberi kredit kerana usahanya merombak pasukan simpanan kelab itu adalah projek jangka masa panjang -- susulan lima tahun gagal melahirkan pemain bertaraf Liga Super -- bukan sekadar memenuhi syarat yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semata-mata.