VVD vs Cannavaro

Oleh Ammar Hakim 29 September 2019 628
VVD vs Cannavaro
Virgil van Dijk diangkat sebagai pemain terbaik aksi final Liga Juara-Juara (UCL) ketika Liverpool mengatasi Tottenham Hotspur 2-0 untuk bergelar juara Eropah buat kali keenam. Selepas bergelar Pemain Terbaik PFA, dia turut dipilih sebagai Pemain Terbaik UEFA mengatasi Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Selepas Messi, pemenang Pemain Terbaik FIFA 2019, gagal membantu Barcelona kembali merasai kejuaraan UCL dan Ronaldo, yang semakin dimamah usia, bergelut untuk menyesuaikan diri di Itali, terdapat ramai pihak yang berpandangan Van Dijk bakal mendakap bola emas itu.

Kali terakhir seorang pemain pertahanan memenangi gelaran individu hadir menerusi legenda Itali, Fabio Cannavaro, pada 2006. Jadi bagaimana ingin dibandingkan Van Dijk dengan pemenang Piala Dunia 2006 itu?

Cannavaro berada di tahap berbeza ketika beraksi dalam musim 2005-06 bersama Juventus, dalang di sebalik gelaran Scudetto kedua berturut-turut buat The Old Lady. Cannavaro diiktiraf secara meluas untuk persembahannya, memenangi empat anugerah Oscar del Calcio, dia juga merupakan pertahanan terbaik 2005 dan 2006 dan diangkat sebagai pemain terbaik Itali pada tahun tersebut.

Gelaran Scudetto itu bagaimanapun kemudian ditarik balik dan diberikan kepada Inter Milan apabila kelab itu terlibat dengan skandal pengaturan perlawanan. Cannavaro kemudian gagal mencetus inspirasi kepada Juventus dalam saingan Piala Itali apabila tewas kepada Roma dalam suku akhir menerusi penentuan penalti.

Van Dijk pula mengharungi musim yang cemerlang bersama Liverpool, mengetuai barisan pertahanan terampuh dalam EPL, apabila hanya bolos 22 kali dalam 38 perlawanan. Dia juga merupakan satu-satunya pertahanan yang tidak berjaya dilepasi oleh mana-mana pemain dalam setiap perlawanan sepanjang musim. Ketiadaannya menjadi faktor aksi goyah The Reds selepas tersingkir daripada saingan Piala EFL dan Piala FA kepada Chelsea dan Wolverhampton Wanderers (kedua-duanya dalam pusingan ketiga).

Cannavaro dan Juventus tunduk kali kedua berturut-turut dalam pusingan suku akhir UCL pada musim 2005-06, dengan skuad Arsenal bimbingan Arsene Wenger melakar kemenangan 2-0 hasil jaringan Thierry Henry dan Cesc Fabregas. 
Untuk rekod, Cannavaro tidak pernah menjuarai gelaran UCL sepanjang kariernya dan kejayaan yang diraih di Eropah hanyalah menerusi Piala UEFA pada musim 1998-99 bersama Parma.

Van Dijk sebaliknya antara pemain paling cemerlang dalam saingan UCL musim lalu, "menyembunyikan" penyerang berbisa seperti Lionel Messi dan Robert Lewandowski dalam pusingan kalah mati dan kelihatan mudah menutup segala peluang jentera serangan Spurs yang dibarisi Harry Kane, Son Heung-Min dan Dele Alli dalam aksi final di Madrid. Tanda nilai GBP75 juta (RM386 juta) yang benar membuahkan hasil.

Persembahan Cannavaro dalam saingan Piala Dunia 2006 merupakan antara yang terbaik dipamerkan dan ia membantunya memenangi Ballon d'Or. 
Mengetuai skuad Itali yang berpengalaman serta dibarisi pemain bertaraf bintang, Cannavaro membentuk barisan pertahanan yang sukar ditembusi, diperkuat oleh pemain seperti Marco Metarazzi, Gianluca Zambrotta, Fabio Grosso, Alessandro Nesta dan penjaga gol, Gianluigi Buffon, membuktikan kepada dunia betapa banyak kali anda menyerang, bertahan memastikan kejuaraan.

Bagai diseru dalam aksi final, Cannavaro menutup segala peluang yang dicipta Thierry Henry, Franck Ribery dan Zinedine Zidane ketika Itali menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti dan ia telah memberikan tiket untuk berhijrah ke Sepanyol menyertai Real Madrid.

Van Dijk membawa Belanda ke pentas final Liga Negara-Negara Eropah, namun tewas kepada Portugal dalam aksi final. Belanda sebelum itu menghadapi kemelut di pentas antarabangsa. 
Selepas tidak terlibat dalam saingan Piala Dunia 2018, The Oranje dibentuk semula oleh pengurus, Ronald Koeman. Kehadiran bintang muda seperti Matthijs de Ligt dan Frenkie de Jong menjadikan mereka kembali sebagai antara pasukan yang digeruni di Eropah.

Messi dan Ronaldo telah mendominasi anugerah Ballon d'Or sejak sedekad lalu sebelum Luca Modric dinobat sebagai pemenang tahun lalu. Dalam era bola sepak moden, barisan penyerang kerap kali menjadi tarikan utama dan Van Dijk membuktikan permainan bertahan haruslah diberikan pengiktirafan.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen