UCL: Barcelona optimis, United bungkam

Oleh Asmawi Bakiri 16 March 2019 11409
UCL: Barcelona optimis, United bungkam
Usah salahkan pemain Barcelona andai mereka kini dilambung keyakinan sambil duta Manchester United, Andy Cole, hanya mampu menekup muka sejurus undian suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dilangsungkan di Nyon, Switzerland malam tadi.

Ia sebenarnya masih di peringkat permainan psikologi dan mengagak-agak cabaran yang bakal dihadapi, namun pastinya ia akan membantu apabila ada pasukan yang berasa sedap hati selepas undian diketahui.

Tidak lama selepas menyingkirkan Lyon di Camp Nou malam Rabu lalu – menang 5-1 sebagai menebus kehampaan 0-0 dalam pertemuan pertama pusingan 16 – Barca sudahpun mencongak-congak pasukan mana yang dihajati mereka berikutnya.

Bukanpun menghairankan, seperti dilaporkan harian sukan Sepanyol, Marca, mereka mahu mengelakkan diundi berdepan Manchester City dan Juventus di peringkat lapan terakhir ini. 

Dan Barca mendapat permintaan mereka.

Dilaporkan ketika dalam bilik persalinan lagi selepas perlawanan dengan Lyon itu, Porto dan Manchester United dirasakan Lionel Messi dan rakan-rakan akan menjadi pencabar “menarik” buat mereka asalkan bukan City atau Juventus yang seboleh-bolehnya mahu dihadapi mereka kemudian.

Hasrat itu juga dipenuhi kerana andai melepasi suku akhir, rintangan seterusnya yang akan dihadapi pada 30 April dan 7 Mei nanti ialah pemenang Liverpool/Porto gara-gara tuah undian yang memisahkan Barcelona dalam kelompok berbeza dengan perlawanan Ajax/Juventus lwn Tottenham/Manchester City.

Nanti dulu, jangan fikir terlalu jauh di sebalik media sosial sudahpun sarat dengan jangkaan Messi melakukan perhitungan dengan Cristiano Ronaldo dalam final di Wanda Metropolitano, Madrid, 1 Jun depan.

Namun, jelas Cole yang mewakili United dalam majlis undian berkenaan, tidak dapat berkongsi perasaan yang sama – barangkali daripada tujuh pencabar yang menanti, Barcelona harus yang paling tidak diinginkannya.

Kebetulan, ketika undian dibuat, cuma ada tiga bola yang masih tinggal di dalam balang, dengan salah satu pasukan akan diundi menentang Tottenham Hotpsur sambil baki dua pasukan lagi – Barcelona dan United – harus berdepan sesama sendiri.

Sudah ketentuan nasib, nama City yang dicabut untuk mengisi slot lawan Tottenham.

Sejurus itu berlaku, Cole, bekas penyerang The Red Devils yang turut menjadi sebahagian skuad yang tampil juara mengatasi Bayern Munich pada musim 1998-99 itu, hanya mampu menekup mukanya.


ADUUHHHH...reaksi Cole ketika United diundi untuk berdepan Barcelona

Jika lebih ramai wakil United yang hadir bersamanya, harus keluhan panjang mereka boleh didengari.

Dilaporkan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu lebih berharap untuk bertemu musuh setempat mereka, City, daripada gergasi Catalan itu yang akan membuat mereka siang malam terbayangkan kelibat Messi.

Adakah ia menghairankan jika firma-firma pertaruhan di United Kingdom kini menurunkan kebarangkalian United untuk tampil juara kepada 16/1? 



Dalam pada itu, Solskjaer memilih untuk menampilkan psikologi berlawanan dengan kata-kata: “Jika anda mahu menang Liga Juara-Juara, anda perlulah mengalahkan sesiapa saja.”

Sedikit yang tidak menggembirakannya ialah undian itu asalnya menjadualkan United bermain di laman lawan dahulu pada 11 April sebelum ke Old Trafford  pada 17 April.

Namun, ketika itu, Ketua Bahagian Media UEFA, Pedro Pinto, yang mengendalikan undian bersama bekas penjaga gol Brazil, Julio Cesar, mengumumkan susunan itu hendaklah diterbalikkan kerana City lebih dahulu diundi bermain di tempat lawan dalam perlawanan pertama.

 “Saya lebih gemar perlawanan kedua di Camp Nou, yang barangkali berbeza dengan (pendapat) 99.9 peratus jurulatih lain," kata Solskjaer kepada Metro UK dalam reaksi awalnya. 

“Jika anda mendapat keputusan yang baik di laman sendiri, kemudian anda boleh ke laman lawan dan mengalahkan sesapa saja seperti yang kami lakukan di Paris (menyingkirkan PSG).”

Untuk itu, United sekurang-kurangnya sudah mendapat sebahagian hajat mereka.

“Apapun, kami akan menantikan pertemuan ini. Jika anda mahu menang Liga Juara-Juara, anda perlulah mengalahkan sesiapa saja,” ulanginya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen