Transisi sebuah pengaruh daripada Rossi kepada Hafizh

Oleh Muzaffar Musa 23 February 2018 12367
 Transisi sebuah pengaruh daripada Rossi kepada Hafizh
Tanya saja pada kebanyakan yang membesar di zaman awal milenium dahulu, sudah pasti mereka kenal akan siapa itu Valentino Rossi.

Besarnya pengaruh Rossi pada ketika itu menyaksikan tulisan 'VR46' bukan sahaja dijadikan pelekat yang ditampal pada kenderaan anak-anak muda, malah contengan tulisan yang sama turut 'menghiasi' dinding-dinding sekolah dan tempat-tempat awam. 

Benar gejala vandalisme bukanlah sesuatu yang baik untuk dipromosikan, namun apa yang cuba disampaikan di sini adalah betapa besarnya pengaruh juara dunia tujuh kali itu.

Pengaruh tersebut bukan sekadar mencetus minat tetapi ianya turut menjadi sebuah gaya hidup yang masih dapat dilihat sehingga kini.

Apa yang dimaksudkan ini adalah bagaimana Rossi berjaya mempengaruhi kehidupan seseorang peminatnya khususnya golongan remaja. Mereka bukan sahaja mempunyai kecenderungan memperagakan apa yang diperagakan Rossi, malah turut mengikuti gaya percakapan juga lenggok badan individu tersebut. 

Sebagai contoh, kita dapat lihat bagaimana kaca mata Oakley Frogskin dan jam tangan G-Shock keluaran Casio menjadi trend anak-anak muda hanya kerana ia sering dipakai oleh Rossi. Kita besarkan lagi skop tersebut kepada sesuatu yang lebih global. Kita lihat bagaimana peningkatan jualan topi keledar jenama AGV sehingga mampu menandingi jenama SHOEI dan Arai hanya kerana ia dipakai oleh Rossi dalam kelas perdana perlumbaan MotoGP. Betapa besarnya pengaruh yang mampu dibawa oleh legenda sukan permotoran ini.

Jadi mampukah Hafizh Syahrin miliki pesona sama seperti mana yang mampu dihasilkan Rossi.

Seperti mana yang diketahui umum, Hafizh sah mengikat kontrak selaku pelumba pasukan Monster Yamaha Tech 3 sekaligus menjadi rakyat Malaysia pertama menyertai kelas perdana kejuaraan dunia. Berita tersebut menjadi fenomena besar memandangkan Hafizh bukan sahaja membawa nama Malaysia, malah turut mewakili segenap rantau Asia Tenggara. Malah menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, pemilihan Hafizh itu sendiri dipengaruhi francais Yamaha Jepun, Thailand, Indonesia termasuk Hong Leong Yamaha (Malaysia).

Sejak menjalani ujian percubaan di Litar Buriram, Thailand, laman sosial pasukan Yamaha Tech 3 menerima kunjungan mendadak rakyat Malaysia. Apa yang lebih mengejutkan adalah peminat Hafizh bukan sahaja terdiri daripada rakyat Malaysia malah turut melibatkan peminat dari pelbagai negara termasuk Eropah. Apa saja sisipan atau kiriman mengenai Hafizh pasti akan mendapat tatapan dan reaksi tertinggi termasuk di laman sosial rasmi MotoGP.

Ini menjadi petanda positif buat Hafizh dalam perjalanan menjadi 'Role Model' baru buat peminat sukan permotoran Asia.

Seperti mana Rossi dengan produk jenama VR46 miliknya sendiri, Hafizh turut mengorak langkah sama dengan melancarkan jenama Pescao55. Lebih membanggakan adalah produk-produk tersebut seperti baju, topi dan pelekat kenderaan sudah mula dipakai umum sekaligus menunjukkan Hafizh sudah mampu membawa pengaruhnya dalam masyarakat.

Tatkala Rossi sudah menghampiri usia empat dekad, sudah pasti hanya persaraan yang kian menantinya. Berbeza dengan Hafizh yang baru menyertai kelas utama pada usia 23 tahun, ini adalah peluang terbaik buat Hafizh dalam melebarkan pengaruh agar dapat setanding Rossi, atau mungkin juga menggantikannya suatu hari nanti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen