Tite boleh tidur lena

Oleh Dayang Zainatull 3 July 2019 1634
Tite boleh tidur lena
Pengendali Brazil, Tite, ternyata resah dan gelisah menjelang pertemuan separuh akhir berdepan seteru utama di Copa Amerika 2019, Argentina. Brazil mara ke separuh akhir selepas menewaskan Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-3, manakala Argentina mudah mengenepikan cabaran Venezuela 2-0.

The Selecao dilihat berada pada prestasi terbaik dan biarpun tidak bermain ala samba, kekuatan bermain secara berpasukan dilihat akan menjadi tunjang utama mereka. Manakala skuad kendalian Lionel Scaloni pastinya sedar kelebihan yang mereka miliki menerusi pemain individu seperti Lionel Messi dan Sergio Aguero.

Namun, selepas perlawanan dengan kemenangan berpihak kepada Brazil, Tite, yang mengisi kekosongan ketua jurulatih Brazil pada 2016, pasti boleh tidur lena kerana pasukannya kini berpeluang cerah untuk muncul juara selepas melepasi halangan paling sukar iaitu Argentina.

Dua gol menerusi Gabriel Jesus dan Roberto Firmino sudah cukup untuk The Selecao melangkah ke pentas final selain melebarkan rekod kemenangan ke atas seteru utama mereka itu. Untuk rekod, enam perlawanan terakhir  sejak 2014, Brazil menang empat kali, kalah sekali dan seri sekali.

Kejayaan menewaskan Argentina secara tidak langsung akan membuka ruang buat Brazil untuk meraih kejuaraan Copa Amerika, selain memberi harapan kepada peminat Brazil untuk melihat skuad kesayangan mereka kembali menjulang piala. Ini kerana satu lagi slot ke pentas final akan menjadi milik pasukan Chile ataupun Peru, dan di atas kertas, Brazil pastinya menjadi pilihan utama untuk muncul sebagai pemenang.

Adakah Stadium Maracana di Rio De Janeiro akan menjadi saksi Brazil menang ke atas Chile atau pun Peru? Sama- sama kita nantikan aksi final yang akan berlangsung Ahad ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen