SuperKIP akhirnya raih mata pertama musim ini 

Oleh Adam Zamri 21 May 2018 1575
SuperKIP akhirnya raih mata pertama musim ini 
Setelah mengharungi lima perlumbaan musim ini di Moto2, Khairul Idham Pawi akhirnya meraih mata pertamanya di Le Mans, Perancis dalam perlumbaan minggu lalu.

Satu mata yang bermakna memandangkan setelah beberapa perlumbaan sebelum ini menyaksikan Khairul banyak menghabiskan saingan di kelompok belakang. Ini juga boleh dikaitkan dengan faktor kecergasan Khairul yang baru sahaja pulih daripada pembedahan “arm pump” di lengan kirinya.

Untuk pengetahuan, “arm pump” adalah satu-satu situasi klinikal yang biasa dihadapi para pelumba dimana  pelumba tersebut kerap alami kesakitan di bahagian lengan yang sama sehingga otot di kawasan tersebut bengkak yang mengakibatkan darah sukar mengalir sekaligus menjadikan tahap oksigen di kawasan tersebut berada di paras yang rendah. Pendek cerita, lengan pelumba akan menjadi tegang dan berasa kurang selesa ketika mengendalikan jentera.

Perlumbaan minggu lalu di GP Perancis menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke 15 dengan catatan 41 minit 06.158 saat, lebih baik dari musim lalu, di mana Khairul hanya berada di kedudukan ke 22 dengan melakar masa 43 minit 07.237 saat.

Untuk sebuah pasukan tempatan, SIC Racing, mereka juga boleh menarik nafas lega apabila pelumba baru Niki Tuuli berjaya menghabiskan saingan di tangga ke 22 dalam penampilan pertamanya di Moto2. Walaupun kedudukan di bawah KIP, namun setidak-tidaknya ia bawa peningkatan positif untuk SIC berbanding pelumba sebelum ini, Zulfahmi Khairrudin. Pencapaian terbaik Zulfahmi musim ini di Moto2 dalam empat perlumbaan disertainya adalah kedudukan ke-26 ketika saingan GP Argentina.

Selepas ini barisan pelumba negara, termasuk Hafizh Syahrin di MotoGP dan Adam Norrodin di Moto3 akan berentap di Litar Mugello, Itali pada 1 Jun.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen