Sirih pulang ke gagang

Oleh Edleen Ismail 22 June 2017 547
Sirih pulang ke gagang
Ibarat sirih pulang ke gagang. Itulah ungkapan paling sesuai bagi menggambarkan situasi di mana kembalinya legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek, ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki negara. 

Misbun sebelum ini meninggalkan BAM pada 2011 kerana tidak sehaluan dengan pihak pengurusan badan induk badminton negara pada ketika itu biarpun telah bersama BAM selama 11 tahun.

Kembalinya legenda yang berasal dari Banting itu turut menyaksikan pemain badminton nombor tiga dunia, Datuk Lee Chong Wei, bakal bergandingan semula dengan mentornya. Gandingan kedua-dua ikon sukan badminton ini pernah menghadiahkan pingat perak Sukan Olimpik pertama negara pada 2008.

Namun 'urusniaga' untuk membawa Misbun kembali ke BAM bukanlah satu urusan yang mudah. Hal ini turut diakui Datuk Lee Chong Wei yang beberapa kali bersemuka dengan Misbun bagi memujuk beliau, selain kerjasama yang diberikan presiden BAM, Datuk Norza Zakaria, yang turut mahukan Misbun kembali melatih pemain perseorangan lelaki negara.

Antara faktor utama yang menyatukan Misbun dengan BAM tentunya kekurangan bakat-bakat muda yang mampu atau layak untuk mewakili nama negara. Persembahan skuad badminton negara juga dilihat longlai terutama sekali pada Piala Sudirman yang berlangsung baru-baru ini.

Kehadiran Misbun yang terkenal dengan reputasi 'garang' sewaktu latihan dilihat bakal membantu pasukan kejurulatihan mencungkil bakat-bakat muda pemain perseorangan untuk menjadi sandaran negara suatu hari nanti. Selain itu, kehadiran Misbun pastinya memberikan suntikan semangat kepada Datuk Lee Chong Wei bagi memburu kejuaraan dunia pertamanya di Glasgow Ogos ini.

Tidak berseorangan, Misbun turut akan dibantu Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayob dan pastinya format dan corak latihan yang dirangka Misbun akan menguji ketahanan fizikal dan mental setiap pemain. Jurulatih berusia 57 tahun itu dijangka akan melapor diri selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti dan penulis berasakan pemilihan Misbun adalah satu tindakan yang tepat.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen