Siapa ke pentas final?

Oleh Burn Thevandran 25 October 2019 678
Siapa ke pentas final?
Empat pasukan terbaik dalam saingan Piala Malaysia, Pahang, Kedah, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor, akan menentukan nasib mereka dalam pertembungan separuh akhir kedua malam esok.

Pertemuan di Stadium Darul Makmur dijangka akan berlangsung sengit selepas kedua-dua pasukan terikat seri 3-3 dalam perlawanan pertama di Stadium Darul Aman. Tuan rumah, Tok Gajah, pasti mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri selain mengharapkan jentera serangan berhasil mendapatkan jaringan. Dollah Salleh dan anak-anak buahnya sudah tentu berharap jaringan awal dapat diraih selain mempertahankan kelebihan tiga gol di laman lawan.

Bagi skuad Lang Merah, kesilapan dibolosi gol awal pasti tidak mahu diulangi dan barisan pemain pertahanan harus merantai penyerang utama Pahang, Dickson Nwakaeme, daripada mendapatkan bola. Kedah pastinya menagih kudrat Fernando Rodriguez, Jonathan Jesus Bauman dan Zaquan Adha untuk meledak gawang lawan yang dikawal bekas penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.

Satu lagi separuh akhir, melibatkan aksi dari Harimau Selatan yang bertandang ke Stadium Shah Alam berdepan Gergasi Lembah Kelang, Selangor. Di atas kertas, kelebihan pastinya menjadi milik JDT yang menang pertemuan pertama di Larkin. Jaringan Syafiq Ahmad dan Leandro Sebastian Velazquez memberikan kelebihan satu gol buat pelawat bagi pertemuan kedua iitu. Skuad bimbingan Benjamin Mora itu sudah pasti mahukan slot ke pentas final berdasarkan reputasi yang dimiliki mereka.

Namun, satu perkara yang harus diingat, Selangor adalah pasukan yang berbeza dalam kejohanan Piala Malaysia. Tidak keterlaluan andai penulis katakan, tuah selalu berpihak kepada mereka dalam pertandingan itu.

Sudah tentu B. Sathianathan tidak rela pasukannya mudah diratah lawan di laman sendiri, bahkan jika perlawanan di Larkin dijadikan rujukan, ada kemungkinan akan ada kejutan oleh The Red Giants. Pemain sandaran Selangor sudah tentu Ifedayo Olusegun selain Khyril Muhymeen Zambri yang kembali berada di prestasi terbaik.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen