Prebiu WWE Fastlane 2018

Oleh Hafiz Azwany Taher 10 March 2018 815
Prebiu WWE Fastlane 2018
Acara bulanan ketiga bagi tahun ini seterusnya bakal menjadi hentian terakhir buat para bintang di Smackdown Live sebelum ke Wrestlemania pada bulan hadapan. Bakal bersiaran secara langsung pada Isnin 12 Mac ini melalui rangkaian WWE Network saluran 820 / 840 (HD), enam perlawanan utama telah dimuktamadkan dan berikut merupakan senarainya:
 

Becky Lynch & Naomi lawan Natalya & Carmella

 
Perlawanan yang akan memberi peluang kepada keempat-empat bintang wanita utama di Smackdown Live untuk menunjukkan keupayaan masing-masing.
 
Nattie dan Miss Money In The Bank, Carmella sudah pasti akan mengambil kesempatan ini untuk menghentikan kerjasama antara Becky dan Naomi yang merupakan sekutu utama kepada Juara Wanita Smackdown, Charlotte Flair.  Tanpa bantuan daripada kedua bintang ini, maka mudahlah mereka untuk merancang komplot bagi melemahkan dominasi Charlotte, seterusnya berpeluang merebut kejuaraan tersebut di Wrestlemania kelak.
 
Terutama buat Carmella yang hanya menunggu masa untuk menunaikan kontrak Money In The Bank nya pada bila-bila masa. Strategi perlu dirancang dengan teliti. Jika tidak, maka sia-sialah kontrak yang dimenanginya itu sejak Julai tahun lalu itu.
 
Namun harus diingat, bukan mudah untuk menghadapi gandingan Becky dan Naomi yang merupakan bekas Juara Wanita. Pastinya perlawanan regu dua lawan dua ini menjanjikan saingan sengit antara kedua-dua pasukan.
 

Shinsuke Nakamura lawan Rusev

 
Sebagai pemenang perlawanan Royal Rumble lelaki bulan lalu, tiada apa perlu dilakukan oleh Nakamura kerana The Artiste sememangnya telah mengesahkan tempat di Wrestlemania bagi merebut Kejuaraan WWE.
 
Walau bagaimana pun, siri provokasi daripada jaguh Bulgaria Rusev dan sang melankolik Aiden English menyebabkan kedua bintang antarabangsa ini perlu menyelesaikan dahulu sebarang perbezaan antara mereka.
 
Dengan sambutan Hari Rusev yang semakin diterima peminat saban minggu, mampukah Nakamura mengekalkan rentak kecemerlangannya? Atau Rusev hanya akan menjadi objek pemanas badan bagi persediaannya untuk ke Wrestlemania?
 

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Amerika Syarikat WWE: Bobby Roode (juara) lawan Randy Orton

 
Randy Orton mungkin telah bergelar Juara Dunia sebanyak 13 kali. Namun sejak menyertai WWE pada 2002, hanya satu kejuaraan yang belum pernah dimenanginya dan ia tidak lain dan tidak bukan adalah kejuaraan Amerika Syarikat yang kini sedang disandang oleh Bobby Roode.
 
Setelah memenangi siri kejohanan bagi menobatkan juara baharu, Roode dilihat begitu dominan sebagai seorang juara yang glorious. Cabaran demi cabaran dibuka kepada mana-mana bintang yang sudi di acara Smackdown Live setiap minggu bagi membuktikan yang beliau adalah seorang juara yang tidak gentar kepada sesiapa.
 
Ibarat seekor ular kapak berbisa yang bersembunyi di balik akar, Randy Orton tiba-tiba muncul dan menghadiahkan gerakan RKO ke atas Roode pada siaran Smackdown awal bulan lalu. Enggan terus berteka teki terhadap tindakan tersebut, Orton melahirkan hasrat untuk bergelar Juara Amerika Syarikat untuk kali pertama.

Pesuruhjaya Smackdown, Shane McMahon tanpa menunggu lama, merestui perlawanan ini. Mampukah Orton merampas kejuaraan daripada Roode? Atau Roode akan terus bertahan dan dalam masa yang sama turut perlu berwaspada dengan Jinder Mahal yang juga sedang menunggu giliran untuk bergelar juara, seterusnya mengganggu kelancaran perlawanan ini kelak?
 

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Wanita Smackdown: Charlotte Flair (juara) lawan Ruby Riott

 
Sejak menyertai Smackdown Live hujung tahun lalu, pasukan Riott Squad gandingan Liv Morgan, Sarah Logan dan dikepalai oleh Ruby Riott seakan berjaya menggegar divisyen wanita di jenama ini. Satu demi satu menjadi mangsa mereka dan tidak terkecuali, sang juara Charlotte Flair.
 
Bagi melunaskan dendamnya, The Queen sanggup mempertaruhkan kejuaraan miliknya asalkan hasratnya untuk satu lawan satu dengan Ruby menjadi kenyataan. Sebagai bintang senior, sesuatu perlu dilakukan untuk mengajar bintang baharu seperti Ruby agar lebih menghormati pihak lain, walaupun terpaksa membayar dengan harga yang mahal.
 
Secara atas kertas, mungkin mudah untuk Charlotte menewaskan Ruby Riott yang masih hijau. Namun usah kita lupa yang si comel Liv Morgan dan Sarah Logan yang akan berada di luar gelanggang, tidak hanya akan menjadi penonton. Pasti mereka telah merangka strategi untuk memastikan ketua mereka melangkah bergaya sebagai juara di Wrestlemania.
 

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Regu Smackdown: The Usos (juara) lawan New Day

 
Kedua pasukan ini tidak asing antara satu sama lain. Beberapa siri perlawanan antara mereka sebelum ini telah menunjukkan yang apabila kedua pasukan ini bertembung, pasti sesuatu yang mengujakan akan berlaku.
 
The New Day beroleh hak sebagai pencabar utama sekali lagi apabila menewaskan gandingan Chad Gable dan Shelton Benjamin beberapa minggu lalu. Setelah mereka direhatkan daripada beraksi di acara Wrestlemania tahun lepas kerana dilantik sebagai hos, Big E, Kofi Kingston dan Xavier Woods tidak mahu menjadi penonton lagi tahun ini dan mereka ingin bergelar juara buat kali kelima.
 
Usos pasti tidak mahu mereka juga dinafikan hak untuk beraksi di Wrestlemania. Walaupun telah hampir sedekad di WWE, namun mereka belum pernah berpeluang untuk bertarung di pentas utama Wrestlemania dan mereka akan memastikan yang insiden berputih mata tidak berulang lagi tahun ini.
 

Perlawanan enam penjuru bagi merebut Kejuaraan WWE: AJ Styles (juara) lawan Kevin Owens lawan Sami Zayn lawan Baron Corbin lawan Dolph Ziggler lawan John Cena

 
Perlawanan yang asalnya tiga penjuru melibatkan AJ Styles dengan pasangan sahabat baik KAMI (Kevin dan Sami). Malangnya setiap kali sesuatu perlawanan ini melibatkan kedua bintang Kanada tersebut, pasti ia akan mengundang perselisihan pendapat oleh Pengurus Besar Smackdown, Daniel Bryan dan Tuan Pesuruhjayanya, Shane McMahon.
 
Shane merubah keputusan yang dibuat Bryan apabila memasukkan Baron Corbin dan Dolph Ziggler sebagai peserta seterusnya, menjadikan perlawanan ini bertukar menjadi lima penjuru. Keadaan semakin genting apabila bekas juara dunia 16 kali, John Cena turut mengumumkan penyertaannya dalam perlawanan ini, dalam usaha untuk memecah rekod sebagai juara untuk kali ke 17 dan bertemu Shinsuke Nakamura di Wrestlemania.
 
Keputusan ini pasti memberikan tekanan kepada AJ Styles selaku juara. Dalam perlawanan cabaran 6 pack sebegini, peluang AJ dilihat sangat tipis untuk mempertahankan kejuaraannya, kerana sesiapa sahaja boleh menindan dan ditindan. Jika bukan AJ yang menindan, bermakna juara baharu akan dimahkotakan, menyebabkan impian WWE Universe untuk menyaksikan pertembungan epik antara AJ dan Nakamura di Wrestlemania ranap.
 
Mampukah AJ bertahan? Adakah Cena akan merubah atmosfera di Wrestlemania? Atau KAMI, Corbin dan Ziggler tiba-tiba mencipta kejutan? Semua persoalan ini akan terjawab di acara WWE Fastlane 2018. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan acara ini secara langsung bermula jam 8.00 pagi Isnin (12 Mac 2018) di rangkaian WWE Network saluran 820 / 840 (HD). Layari www.astro.com.my atau pergi ke saluran 200 untuk melanggan.
 
(Foto: WWE.com)
 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Fastlane dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro dan Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen