Pilihan tepat, Mat Yo ke Thailand

Oleh Fadzrie Hazis 15 January 2020 1190
Pilihan tepat, Mat Yo ke Thailand
Penyerang veteran kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, atau lebih sinonim dengan panggilan 'Mat Yo' mengejutkan ramai pemerhati bola sepak tempatan baru-baru ini dengan penghijrahannya ke Liga Satu Thailand bersama kelab Bangkok Glass Pathum United.

Bagi penulis, ia keputusan yang baik buat Mat Yo menguji kemampuan dirinya beraksi di Thailand yang boleh dikatakan antara saingan liga terbaik rantau ini.

Mat Yo kini menjadi pemain kebangsaan ketiga berkelana ke Liga Satu Thailand selepas Sharel Fikri Md Fauzi (Nakhon Ratchasima, 2018) dan Dominic Tan yang akan beraksi dalam musim kedua bersama Police Terro selepas membantu kelab itu dalam saingan Liga Dua Thailand, musim lalu.

Bagi pemain pertahanan berpengalaman Singapura dan PT Prachuap, Baihakki Khaizan, dia optimis Mat Yo berupaya melakukan impak beraksi dan bersaing di pentas itu.

"Bagi saya biarpun ada sesetengah pemerhati bola sepak meragui sama ada Mat Yo mampu berjaya atau tidak, saya percaya dia mempunyai kualiti untuk berjaya di Thailand," katanya.

"Ya, ini kali pertama Mat Yo beraksi di luar Malaysia dan dia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Thailand.

"Namun, saya pernah sepasukan dengan Mat Yo di Johor Darul Ta'zim (JDT) dan yakin dia tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri di Thailand."

Baihakki juga menegaskan faktor umur tidak seharusnya menjadi penghalang buat Mat Yo beraksi di Thailand biarpun penyerang kebangsaan itu yang akan berusia 34 tahun musim ini.

Ini kerana tonggak Singapura itu sendiri berusia 36 tahun musim ini dan ini adalah musim ketiganya di Thailand selepas bersama Udon Thani (2018) dan Trat  FC (2019), sebelum ini.

Selain Baihakki, Singapura turut mempunyai tiga lagi pemain di Thailand iaitu Izwan Mahbut (Trat), Irfan Fandi (Pathum United) dan Zulfahmi Arifin (Supahanburi).

"Bagi saya, Thailand adalah liga sesuai buat pemain-pemain dari Singapura, Malaysia dan juga Indonesia kembangkan bakat mereka dan di sini, ia boleh juga membuka laluan ke liga lebih prestij seperti Korea dan Jepun.

"Kalau nak dibandingkan dengan liga di Malaysia, Singapura, mahupun Indonesia, saya rasa tahap teknikal di Thailand lebih tinggi sedikit dan mungkin, Vietnam setahap dengan mereka," tambah Baihakki.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen