Pertembungan epik KLHC, THT

Oleh Mirnawan Nawawi 12 January 2018 1337
Pertembungan epik KLHC, THT
Terengganu Hockey Team (THT) belum pernah merasai kenikmatan sebagai juara Piala Sumbangsih sejak membuat debut pertama dalam kempen Liga Hoki Malaysia (MHL), empat tahun lalu.

Tiga trofi sudah dikumpul dalam ‘kabinet’ mereka iaitu Liga Premier, Piala TNB dan Piala Tan Sri P. Alagendra termasuk gelaran juara berganda selama tiga tahun berturut-turut dari 2013 hingga 2016.

Mana tidaknya, THT berputih mata setiap kali berentap dengan musuh tradisi, Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC), merebut gelaran Piala Sumbangsih dengan tiga kekalahan berturut-turut dalam tempoh tiga tahun terakhir.

Skuad bimbingan Sarjit Singh itu dimalukan teruk 2-6 oleh KLHC sewaktu edisi 2015 dan kemudian kecundang 1-2 pada 2016 sebelum menelan hakikat perit sekali lagi tewas tipis 5-6 melalui penentuan penalti, tahun lalu.

Untuk kali ini, THT tentunya tidak rela episod sama berulang lagi memandangkan mereka masih 'terluka’ kerana terpaksa melepaskan gelaran Piala Alagendra yang dimenangi tahun lepas kepada KLHC baru-baru ini.

Berdasarkan aksi final Piala Alagendra baru-baru ini, saya melihat THT mempunyai kelebihan tersendiri melalui pakar flick dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat, yang menjaringkan dua gol dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Selain itu, THT juga masih mempunyai pasangan adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari, yang sentiasa menjadi ‘duri dalam daging’ buat mana-mana pasukan.

Perlu diingat, dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini, KLHC boleh dianggap bernasib baik kerana dua flick daripada Peillat dan Faizal terkena palang selain beberapa percubaan berbahaya mereka dinafikan oleh kecekapan penjaga gol berpengalaman KLHC, Roslan Jamaluddin.

Bagaimanapun, tidak adil untuk saya menilai hanya kekuataan THT kerana KLHC juga ada kelebihan tersendiri.

Pasukan kendalian Lim Chiow Chuan itu tentunya akan menggunakan sepenuhnya kebolehan dimiliki bekas penjaring terbanyak LHM 2016 dan 2017, Jang Jong Hyung, serta pakar flick Malaysia, Razie Rahim, untuk menjaringkan gol daripada pukulan sudut penalti dalam pertemuan nanti.

Ketika final baru-baru ini, THT mendahului dua gol hasil jaringan Peillat dan Manraj Singh tetapi KLHC membuktikan mereka juga sama hebat dengan THT apabila bangkit meledak tiga gol menerusi Jang, Syamim Yusof dan Joshua Pollard.

Peillat membuktikan tindakan THT mendapatkan khidmatnya adalah satu keputusan tepat apabila dia menyamakan kedudukan dengan menyempurnakan penalti stroke menewaskan Roslan Jamaluddin mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Jadi, saya menjangkakan satu lagi perlawanan sengit akan disajikan oleh THT dan KLHC buat tatapan para peminat yang hadir menyaksikan pertembungan epik tersebut. Mungkin juga pemenang akan sekali lagi ditentukan melalui penentuan penalti kerana kehebatan dan keseimbangan kedua-dua pasukan.

Kedua-dua pasukan tentunya akan berhabis-habisan untuk menamatkan perlawanan itu sebagai juara terutama THT yang belum pernah bergelar juara, manakala KLHC juga mahu menang dalam misi memburu sejarah memenangi semua trofi dipertandingkan tahun ini.

Kalau berjaya memenangi semua empat piala dipertandingkan musim ini, KLHC akan muncul pasukan pertama dalam sejarah Malaysia melakukannya.

Ayuh semua penyokong turun menghangatkan pertemuan ini yang boleh diklasifikasikan sebagai “Clash of the Titans” di Kuala Terengganu atau menontonnya menerusi siaran langsung di Astro Arena 801 dan 801 HD pada pukul 4.45 petang hari ini (Jumaat).


Foto kredit: Facebook Malaysian Hockey Confederation

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen