Peningkatan jelas walaupun tewas 

Oleh Mirnawan Nawawi 16 November 2018 148
 Peningkatan jelas walaupun tewas 
Perubahan corak permainan sudah dapat dilihat dalam skuad hoki negara walaupun tewas tipis 1-2 kepada New Zealand dalam siri pertama aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, petang tadi.

Saya tertarik melihat kebangkitan yang dipamerkan barisan pemain setelah mereka ketinggalan dua gol awal kepada The Black Sticks yang dijaringkan Stephen Jenness dan Aidan Sarikaya seawal minit kedua dan minit ke-17.

Malaysian Tigers berjaya menunjukkan penguasaan bola yang lebih banyak dalam suku masa ketiga dan keempat permainan selain memperoleh beberapa peluang untuk diterjemahkan kepada jaringan gol.

Bagaimanapun, skuad negara terpaksa akur tewas tipis apabila tiada lagi jaringan dapat ditambah selepas mendapat satu gol menerusi penalti stroke Faizal Saari pada minit ke-22.

Saya melihat peningkatan corak persembahan daripada segi struktur permainan, terutama persefahaman antara pemain sepanjang perlawanan itu.

Para pemain menunjukkan kesefahaman antara mereka untuk membentuk corak segi tiga, sekali gus memberi pilihan kepada ‘ball carrier’ untuk membuat hantaran.

Skuad negara juga menunjukkan kelebihan daripada segi penguasaan bola, percubaan gol dan 'circle penetration' dalam usaha menjaringkan gol ke atas New Zealand yang merupakan pasukan No. 9 dunia berbanding Malaysian Tigers di tangga ke-12 dunia.

Bagi saya, keputusan seri lebih adil buat kedua-dua pasukan berdasarkan statistik perlawanan.

Perubahan yang cuba dibawa oleh ketua jurulatih dari Belanda, Roelant Oltmans, atau lebih mesra dengan gelaran ‘Tok Man’ seakan-akan sudah menjadi walaupun dalam masa sama, tetap ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki.

Mungkin peminat-peminat hoki tanah air akan dapat melihat lebih banyak peningkatan daripada skuad negara dalam baki dua perlawanan persahabatan terakhir menentang New Zealand pada Selasa dan Khamis depan.

Jika dapat terus mengekalkan peningkatan permainan, tidak mustahil Malaysian Tigers mampu mengharungi kempen cemerlang di pentas Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India dari 28 November hingga 16 Disember ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen