Pecat orang dalam persatuan dulu!

Oleh Aidie Ramlan 2 March 2017 166
 Pecat orang dalam persatuan dulu!

Hampir setiap kali musim bola sepak Malaysia membuka tirai, pasti ia akan diiringi isu kedudukan kerusi panas ketua jurulatih, sama ada di permulaan, pertengahan atau di pengakhiran cerita liga. 

Jika pada tahun 2016, Ahmad Yusof yang kini membimbing Sime Darby FC, menjadi individu pertama yang dipecat daripada pasukan Terengganu, musim ini jika diikut turutan, yang pertama dipecat adalah Mario Gomez dari pasukan JDT (sebelum bermula liga).

 Walaupun dikatakan tidak sehaluan dengan pihak pengurusan, umum mungkin boleh meneka bahawa ia mungkin keputusan yang berkaitan dengan skuad kebangsaan. 

Ia disusuli dengan pengunduran Azmi Mohamed dari pasukan Felda United dan juga pemecatan orang lama, Karl Heinz Weigang, dari pasukan Perak.
 
Ada cakap-cakap belakang yang mengatakan bahawa di Malaysia, jurulatih hanya perlu melatih pemain dan memberikan komitmen di atas padang, manakala soal pemilihan pemain untuk membentuk skuad, pemain mana harus dipilih, pemain mana yang tidak, itu pihak pengurusan akan tentukan. 

Jika benar apa yang dikatakan, adakah jurulatih wajar dipersalahkan 100 peratus apabila pasukan gagal mempamerkan prestasi terbaik? Dan apakah  sebenarnya penanda aras daripada pihak pengurusan?
 
Karl Heinz Weigang: Kembali membimbing The Bos Gaurus pada Mei 2016 selepas mengalami kemerosotan prestasi di bawah bimbingan Syamsul Saad, mengotakan janjinya untuk menyelamatkan Perak daripada terjerumus ke kancah Liga Perdana. 

Beliau turut diberi kepercayaan membimbing pasukan untuk musim 2017, namun direhatkan biarpun baru memasuki lima perlawanan dengan tiga kemenangan, satu seri dan satu  tewas.

Sekali lagi, apa penanda aras pasukan Perak sebenarnya? JIka benar Weigang yang bermasalah, kenapa tidak ditamatkan kontrak sebelum bermulanya liga? Atau ada pertikaian antara pengurusan, pemain dan jurulatih?
 
Mehmet Durakovic: Jika dikorek kembali sejarah,  beliau membawa Selangor muncul juara Piala Malaysia 2015 dan muncul naib johan Liga Super 2015, namun jodohnya bersama Selangor tidak panjang. 

Di sini pun, kita sudah boleh agak ada sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan. Individu yang membawa kejayaan direhatkan sebelum digantikan oleh Zainal Abidin Hassan yang langsung gagal menyamai rekod Mehmet, dan Zainal turut diketepikan setelah enam bulan bersama Selangor. 

Jadi persoalan kepada pihak pengurusan, apa salah Mehmet? Di mana silapnya sehingga berjaya memberikan keputusan hebat tetapi masih tidak dihargai? 

Jika Zainal gagal mengekalkan prestasi baik Selangor, adakah beliau harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya? Atau ada individu dalam pengurusan yang turut mahu bertanggungjawab?
 
Ashley Westwood: Pengendali Pulau Pinang, beliau pernah beraksi dalam BPL, pernah membimbing Bengaluru FC  selama tiga tahun selain turut berpengalaman dalam  saingan Piala AFC. 

Dikhabarkan beliau seorang yang benar-benar mementingkan stamina dan juga kerja keras di atas padang sehingga ia menimbulkan rasa tidak senang hati pemain.  

Persoalannya, apakah benar Ashley Westwood perlu bertanggungjawab 100 peratus dengan keadaan terkini pasukan Pulau Mutiara? Atau mungkin adanya campur tangan pihak pengurusan yang gagal mentadbir pasukan dengan baik? 

Pemilihan pemain import oleh individu tidak bertauliah? Atau mungkin pemain terlalu manja hingga tidak boleh dipaksa bekerja keras? 

Krisis yang dialami Pulau Pinang kini agak teruk memandang mereka baru sahaja kembali ke kancah Liga Super setelah terlalu lama lena diulit mimpi dalam liga bawahan.

Pastinya peminat setia Harimau Kumbang mahukan penyelesaian segera agar pasukan kesayangan mereka tidak terjerumus kembali ke kancah lama.
 
Sepuluh perenggan di atas adalah monolog penulis  ketika membaca laporan akhbar dan bacaan di internet bahawa di Malaysia, jawatan jurulatih  bukan bermakna anda berkuasa ke atas segala-galanya di dalam pasukan.

Tetapi apabila pasukan mengalami krisis kejatuhan, andalah individu pertama yang akan dipertanggungjawabkan. 

Sudah terlalu lama persatuan bola sepak di Malaysia ditadbir oleh setiausaha, bendahari mahupun ahli jawatan kuasa yang membuat keputusan seolah-olah mereka mempunyai lesen kejurulatihan kelas A. 

Setuju jika saya katakan landskap bola sepak negara kita umpama pertubuhan politik? Setuju jika saya katakan indiviu-individu sebeginilah yang menyebabkan bola sepak kita mundur? 

Dan adakah anda setuju jika saya katakan mereka ini membuat bola sepak sebagai mainan mereka untuk kuasa dan wang?
 
Tepuk dada, tanya selera.
 


Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen