Misbun: Beri saya dua tahun!

Oleh Adam Zamri 21 May 2018 33761
Misbun: Beri saya dua tahun!
Sedar tak sedar, Datuk Misbun Sidek sudah 10 bulan bersama Persatuan Badmiton Malaysia (BAM) sejak pengumuman kepulangannya ke badan induk itu Jun tahun lalu.

Namun dalam tempoh ini, barisan pemain senior, kecuali Datuk Lee Chong Wei, masih belum ada satu penanda aras yang boleh dibanggakan. Iskandar Zulkarnain, Soong Joo Ven, Chong Yee Han, Soo Teck Zhi malah juara kebangsaan dua tahun berturut-turut, Lim Chi Wing, kesemua prestasi mereka masih statik dan tidak banyak yang boleh diperkatakan.

Misbun tidak membuang mereka daripada kem kebangsaan sebaliknya masih punyai alasan tersendiri untuk kekalkan barisan pemain ini.

“Saya perlukan mereka untuk terus berlatih dan menjadi rakan regu yang baik kepada pemain muda. Mungkin ada di antara mereka sudah mencapai titik kemuncak karier, namun biar saya yang akan putuskan bila mereka akan pergi dan ia bukannya sekarang” ujar Misbun.

Dalam masa yang sama, tumpuan Misbun kini lebih terarah kepada sekelompok generasi baru perseorangan lelaki, terdiri daripada Lee Zii Jia, Tan Jia Wei, Sim Fong Hau, Cheam June Wei serta Leong Jun Hao.

“Beri saya masa dua tahun untuk bantu stabilkan gaya permainan mereka. Zii Jia anda sudah nampak, dan yang lain juga sedang menyusul seperti Jia Wei, June Wei dan Jun Hao”

Mengulangi frasa popular Misbun , “Berikan saya masa dan tenaga awak”, kata-kata itu menjadi pedoman buat barisan kelompok muda ini meningkatkan diri mereka dalam menempuhi latihan keras diterapkan Misbun.

Hasilnya, Cheam June Wei kini menunjukkan peningkatan dengan sudah pun mara ke tiga pentas final, dan memenangi salah satu daripadanya ketika Siri Antarabangsa Belanda pada April, begitu juga Leong Jun Hao, muncul juara di terbuka Finland, menewaskan June Wei di final.

Dengan senario badminton dunia semakin sengit, ditambah status Malaysia sebagai negara kuasa besar badminton kian terhakis, mampukah Misbun lahirkan seorang lagi “Lee Chong Wei’ demi kelangsungan badminton tempatan?  

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen